Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, April 3, 2015

BAYAR RM1,000 SAJA, ANDA BOLEH KAHWIN!


Bayar RM1,000 saja, anda boleh kahwin!


Johor Bahru - Memandangkan kos untuk melangsungkan sebuah perkahwinan kini semakin meningkat, Pusat Khidmat Parlimen Pulai mengambil inisiatif menganjurkan Walimatul Urus Mega untuk memberi peluang mereka yang mahu membina mahligai bahagia dalam suasana cukup meriah.

Program berkenaan bakal berlangsung di Kompleks Komuniti Tan Sri Mohamed Rahmat, Tampoi, 15 Mei depan terbuka kepada setiap pasangan warganegara Malaysia dan hanya perlu membayar RM1,000 sebagai komitmen mereka bersama pasangan masing-masing.

Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, idea program ini timbul berikutan mendapat maklum balas daripada golongan muda yang memberitahunya antara halangan mereka untuk mendirikan rumah tangga akibat kekangan kewangan yang dialami.

“Kita sedia maklum bahawa kos untuk melangsungkan sebuah perkahwinan mungkin mencecah RM10,000 hingga RM20,000 termasuk kos andaman, sewa dewan, khemah dan sebagainya.

"Namun, dengan hanya menyertai program yang dianjurkan ini setiap pasangan hanya perlu membayar RM1,000," katanya.

“Bayaran diminta ini bukan sebagai menanggung kos yang kita sediakan, sebaliknya sebagai komitmen mereka. Menariknya, setiap pasangan boleh membawa 100 tetamu mereka untuk memeriahkan hari bahagia itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Nur Jazlan berkata, bagi mereka yang belum menjalani kursus perkahwinan yang diiktiraf Majlis Agama Islam, pihaknya bersedia menguruskannya tetapi perlu menyediakan dokumen dan surat kebenaran untuk berkahwin yang lengkap dan sah.

“Peserta usah khuatir kerana kita akan menyediakan jurunikah yang bertauliah dan diiktiraf Majlis Agama Islam negeri Johor (Maij). Jadi, majlis akad nikah dan persandingan beramai-ramai akan diuruskan.

“Setiap pasangan akan menerima cenderahati berupa dua naskhah al-Quran terbitan Karya Bestari dan istimewanya mereka berpeluang memenangi cabutan bertuah yang menyediakan pakej umrah,” katanya.

Beliau berkata, bagi pasangan yang berminat jangan lepaskan peluang yang disediakan dan diminta mengisi borang penyertaan asal yang disediakan di akhbar Sinar Harian serta membuat pembayaran terus di Pejabat Kompleks Komuniti Tan Sri Mohamed Rahmat.

“Sebarang keterangan lanjut boleh datang sendiri ke Pejabat Kompleks Komuniti Tan Sri Mohamed Rahmat di alamat nombor 1, Jalan Mata Kuching Off Jalan Skudai, Tampoi, Johor Bahru atau hubungi Puan Shikin (019-7906796) atau Puan Rokiah (019-7792024),” katanya.

Walimatul Urus Mega diselenggarakan Umno Bahagian Pulai bersama Pemuda Umno Bahagian Pulai dan Puteri Umno Bahagian Pulai dengan kerjasama akhbar Sinar Harian dan Majalah Pesona Pengantin.

0 comments:

share2