Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, April 3, 2015

TARIK BALIK CAJ GST 'TOP-UP'


kad tambah nilai


Butterworth - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu di Pulau Pinang hari ini menggesa kerajaan menarik balik cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang dikenakan ke atas kad tambah nilai prabayar.

Wakil NGO berkenaan, Anuar Faisal Yahaya berkata, GST yang dikenakan ke atas pengguna perkhidmatan prabayar adalah membebankan terutama kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

"Kami wakil NGO Melayu di Pulau Pinang mendesak kerajaan mempertimbangkan untuk tidak mengenakan GST ke atas kad tambah nilai prabayar kerana kebanyakan mereka yang menggunakannya bukan dalam kalangan berpendapatan tinggi.

"Lagi pun kami berpendapat syarikat-syarikat telekomunikasi terbabit telah mengaut keuntungan jutaan ringgit setiap tahun," katanya kepada pemberita selepas perjumpaan NGO Melayu Pulau Pinang dengan wakil Jabatan Kastam Pulau Pinang di sini, hari ini.

Anuar yang juga Pengerusi Biro Pendidikan Persatuan Anak-Anak Permatang Pauh berharap kerajaan tidak tunduk dengan desakan syarikat telekomunikasi untuk mengenakan GST, sebaliknya lebih prihatin dengan nasib pengguna.

"Pada pandangan kami, syarikat telekomunikasi boleh menyerap GST itu tanpa mengenakannya kepada pengguna.

"Walaupun 60 sen...tetapi berapa ramai yang menggunakan prabayar jadi kami minta kerajaan tidak tunduk pada syarikat telekomunikasi kerana kesan GST ke atas kad tambah nilai prabayar cukup besar kerana daripada murid sekolah rendah hingga warga emas menggunakannya," kata beliau.

Sementara itu, Anuar turut meminta pihak berkuasa meningkatkan pemantauan terhadap premis perniagaan termasuk kedai runcit bagi mengelak peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barang.

"Kami NGO-NGO Melayu di Pulau Pinang juga bersedia menjadi mata dan telinga pihak berkuasa bagi menyalurkan maklumat berhubung kenaikan harga barang," katanya.

0 comments:

share2