Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, April 2, 2015

JERANTUT: 'GERAK HATI SELAMATKAN SAYA'


'Gerak hati selamatkan saya'



“Lebih kurang satu minit saya masuk ke dalam kedai, tiba-tiba saya terdengar bunyi dentuman kuat di belakang dan dengar bunyi kecoh suara pelanggan bertempiaran lari selamatkan diri,".

Demikian kata warga emas, Abdul Rahman Harun, 68, yang nyaris maut dihempap kayu balak dalam kejadian kemalangan di Simpang Tekam Utara, berdekatan jalan masuk ke Tekam Utara perumahan Ibu Tunggal, di sini, kira-kira jam 6 petang, kelmarin.

Abdul Rahman berkata, ketika tiba di simpang berkenaan, dia tergerak hati mengajak isterinya, Shamsiah Siang, 50, minum kopi di sebuah kedai makan dan ingin berjumpa dengan rakannya di kawasan premis yang cuma jarak dua meter dengan tempat kejadian.

“Masa turun dari kereta, saya terpandang lori balak dari arah Lepar Utara macam dah tak stabil ketika hampir di simpang tersebut.

“Cuma kami tak sangka baru satu minit keluar dari kereta Proton Iswara saya menuju ke kedai kopi di tepi jalan, tiba-tiba lori muatan balak itu terbalik hempap bahagian kanan kereta kami,” katanya.

Dia yang merupakan peneroka Felda Kota Gelanggi Dua berkata, dia sempat mencapai tangan isterinya dan turut menyelamatkan diri ke belakang kedai bersama-sama pelanggan lain.

“Saya bersyukur sebab terselamat daripada dihempap balak itu. Kalau saya masih berlengah keluar dari kereta mungkin ia boleh ancam nyawa kami,” katanya. Abdul Rahman berkata, dia terus membuat laporan ke Balai Polis Jerantut selepas kejadian petang hari berkenaan. Sementara itu, Ketua Polis Jerantut, Superintendan Azid Ismail berkata, kejadian itu berpunca apabila lori berkenaan yang tiba di persimpangan Ibul Tunggal, berdekatan Tekam Utara cuba mengelak sebuah lubang dan tiba-tiba penyambung antara kepala (lori) dan badan (muatan) tercabut.

“Kepala lori terbalik di sebelah kiri, manakala badan (muatan) terbalik di sebelah kanan lalu kayu balak menghempap kenderaan yang diletakkan di tepi jalan simpang berkenaan.

“Turut terbabit dilanggar lori berkenaan, iaitu bahagian belakang sebuah kereta yang datang dari arah bandar Jengka ke Felda Kota Gelanggi 2 dan cuma mengalami sedikit kerosakan.

Kesemua pemandu kenderaan terselamat dalam kejadian itu,” katanya. Menurutnya, siasatan polis trafik mendapati lori balak berkenaan sudah berusia 40 tahun
dan tidak sesuai lagi digunakan untuk tujuan pengangkutan berat yang boleh mengundang risiko kemalangan.

0 comments:

share2