Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, March 24, 2015

TERAJANG PINTU KACA SAMPAI PECAH


Terajang pintu kaca sampai pecah


Seremban - Akibat terlalu marah, seorang lelaki sanggup bertindak menendang pintu kaca sebuah klinik swasta hingga pecah di Jalan Tuanku Munawir, di sini, semalam.

Kekecohan di klinik itu turut tersebar di beberapa laman sosial, namun sebahagian besarnya melaporkan kononnya klinik berkenaan menjadi mangsa samun.

Usaha Sinar Harian untuk mendapatkan maklumat terperinci daripada pemilik klinik tidak berhasil apabila mereka enggan memberikan kerjasama.

Justeru, usaha lain diambil bagi memperolehi gambaran sebenar situasi menimpa klinik itu, sekali gus melenyapkan segala perkhabaran tidak benar disebarkan dalam internet.

Berdasarkan cerita beberapa individu di lokasi kejadian, difahamkan insiden berlaku antara jam 1.30 petang hingga 2 petang itu berpunca daripada pertengkaran sepasang suami isteri berbangsa India berusia lingkungan 30an.

Salah seorang pekerja berhampiran yang enggan dikenali berkata, dia langsung tidak menduga kehadiran pasangan terbabit di klinik berkenaan akan menjadi sedemikian rupa.

“Kalau tidak silap saya, si suami sangka isterinya yang sedang mengandung tak berapa sihat. Sebab itu dia sanggup temankan isterinya ke klinik untuk dapatkan rawatan.

“Dia mula naik berang bila dapat tahu tujuan sebenar isterinya ke situ semata-mata nak gugurkan kandungan. Tapi tak pasti pula atas alasan apa,” katanya.

Daripada situ, katanya, berlaku pertikaman lidah antara kedua-duanya yang turut melarat sehingga melibatkan petugas klinik tersebut.

“Lama juga mereka bertengkar. Seingat saya, lebih kurang 15 minit. Dapat dengar suara si suami mengherdik isterinya dan petugas klinik.

“Barangkali sudah hilang sabar, si suami ambil tindakan luar jangkaan dengan menendang pintu utama klinik sampai pecah untuk melepaskan kemarahan,” katanya.

Rakannya yang menyambung cerita pula memberitahu, semasa kejadian, dia sedang berada dalam kedai dan langsung tidak menyedari pertengkaran itu.

“Masa itu, saya terdengar bunyi berdentum dan kaca berderai. Saya sangka, kedai makan sederet dengan kami dirompak atau meletup.

“Bila saya jengah keluar, saya nampak serpihan kaca bertaburan atas kaki lima klinik dan darah terpercik sana sini. Nak tahu punya pasal, saya beranikan diri ke klinik terbabit.

“Sampai sana, ada seorang lelaki agak tinggi dan berisi sedang memarahi beberapa individu di sekelilingnya. Dia macam tak ada apa-apa, walaupun kakinya luka sebab tendang pintu kaca pakai selipar.

Menurutnya, beberapa orang awam yang turut menyaksikan insiden itu segera menghubungi pihak polis kerana tidak mahu situasi menjadi lebih buruk.

“Si suami yang cedera akibat tertusuk kaca dibawa ke hospital menaiki ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

0 comments:

share2