Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, March 26, 2015

TANAMAN PISANG DISERANG PENYAKIT LAYU


pisang


Balik Pulau - Hampir separuh kawasan tanaman pisang di Balik Pulau terjejas teruk akibat penyakit moko atau layu yang menyebabkan hasil tanaman menjadi rosak.

Pengerusi Kelompok Pertanian Kampung Perlis, Saidi Md Noor berkata penyakit bermula akhir tahun lepas dengan menyerang 10 ladang melibatkan 200 petani. 

"Keseluruhan kawasan adalah seluas 367 hektar dan 153 hektar atau separuh daripadanya dijangkiti penyakit," katanya.

Anggota Dewan Undangan Negeri Pulau Betong, Muhamad Farid Saad turut meninjau tanaman yang diserang penyakit di Kampung Perlis hari ini.

Saidi berkata tindakan segera untuk memusnahkan pokok pisang yang dijangkiti penyakit dan merawat kawasan yang terjejas perlu dilakukan segera bagi memastikan pisang keluaran dari Balik Pulau khususnya jenis pisang awak tidak terjejas.

Antara pisang yang diusahakan petani ialah pisang raja, abu dan rastali dengan pisang awak merupakan keluaran utama.

Saidi berkata penyakit moko berpunca daripada serangan bakteria Ralstonia Solanacearum.

Sementara itu Muhammad Farid berkata bantuan kewangan daripada kerajaan persekutuan dan negeri serta kepakaran Jabatan Pertanian diperlukan untuk membantu petani menangani penyakit tersebut.

Beliau berkata anggaran kos keseluruhan yang diperlukan untuk memusnah dan merawat kawasan yang terjejas ialah kira-kira RM4 juta iaitu RM10,000 bagi setiap hektar dengan proses memulihkan kawasan mengambil masa kira-kira tiga tahun. 

Petani yang terjejas perlu memusnahkan semua pokok pisang mereka dan menanam dengan tanaman lain sementara menunggu kawasan ladang mereka dirawat, katanya.

0 comments:

share2