Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, March 6, 2015

PEKAN: SIKAP PENGGUNA PUNCA KEBAKARAN


Sikap pengguna punca kebakaran


Kebakaran semak-samun dilaporkan sering terjadi dan ia adalah kesan dari pada sikap pengguna yang menjadi punca kebakaran , sekali gus menyumbang kepada keadaan berjerebu.

Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Pekan, Sheikh Hassan Sheikh Zainuddin berkata, pihak bomba mengesan kebakaran hutan yang berlaku terutama pada waktu cuaca panas berpunca daripada kegiatan melakukan pembakaran terbuka sehingga mengancam kawasan sekitarnya.

Menurutnya, kawasan-kawasan yang mengalami kebakaran ini dipantau dan meminta agar orang ramai lebih berhati-hati ketika melakukan pembakaran khususnya di kawasan terbuka.

“Punca utama berlakunya kebakaran adalah disebabkan oleh sikap orang ramai yang memandang mudah terhadap kepentingan alam sekeliling mereka dan keadaan ini perlu diatasi segera.

“Orang ramai seharusnya lebih berhati-hati ketika membuat pembakaran khususnya di kawasan tanah gambut dan juga tidak membuat puntung rokok sesuka hati di tepi-tepi jalan sehingga menyebabkan bara itu merebak seterusnya mencetuskan kebakaran,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, orang ramai yang suka melakukan pembakaran di kawasan terbuka turut menyumbang kepada masalah kebakaran hutan dan pihaknya masih menyiasat faktor-faktor lain yang menyebabkan kebakaran semak samun berlaku sehingga dua ke tiga kali sehari.

“Kebakaran semak-samun di sekitar daerah ini yang selalu terjadi adalah disebabkan keadaan cuaca panas terik dan kebakaran disebabkan cuaca ini hanya berlaku di kawasan hutan yang jarang atau tidak dimasuki orang.

“Saya berharap agar orang ramai tidak buat pembakaran terbuka terutamanya pada musim kemarau kini kerana ia hanya akan menyumbang kepada keadaan yang lebih serius,” katanya.

Jelasnya, tindakan boleh terhadap individu yang sengaja melakukan pembakaran sehingga menyebabkan kebakaran yang lebih besar dan mengancam keselamatan orang ramai serta kawasan persekitarannya.

Sementara itu, seorang penduduk, Lily Marina Rais, 31, berpendapat masalah ini tidak akan dapat diatasi dengan bantuan dan khidmat pihak bomba dan penyelamat serta pihak berkuasa yang cuba sedaya upaya untuk mengatasinya.

“Masalah pembakaran terbuka perlu diatasi melalui kesedaran sivik masyarakat mengenai kepentingan alam sekitar kepada kita.

“Jika kita tidak mengubah sikap ini, mungkin kita akan kehilangan lebih banyak hutan yang memberi pelbagai sumber kepada kita,” katanya.

Menurutnya, keadaan ini perlu diperbaiki dan seharusnya menjadi isu yang perlu dikupas oleh semua pihak dan peringkat, sekali gus menemui jalan penyelesaian.

“Masalah ini hanya dapat diatasi jika setiap anggota masyarakat memainkan peranan sebagai individu yang bertanggungjawab dan mencintai alam sekitar,” katanya.

0 comments:

share2