Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) menjadi institusi pengajian politeknik pertama di Malaysia yang diberi pengiktirafan oleh Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh) dalam langkah-langkah pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
Pengerusi Niosh, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, penganugerahan Sijil Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara OHSAS 18001:2007 dan MS 1722:2011 yang diperoleh Polisas itu merupakan penanda aras yang tinggi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
"Apa yang telah dicapai oleh Polisas sepatutnya dicontohi oleh 32 lagi politeknik selain institusi pendidikan lain di negara ini.
"Apabila semua institusi telah diberikan pensijilan berkenaan, ia akan dapat membantu menambah nilai meningkatkan imej institusi berkenaan menerusi pengiktirafan yang dibuat oleh Niosh," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sijil pengiktirafan berkenaan kepada Polisas yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar Pahang Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abd Razak di sini, semalam.
Menerusi pengiktirafan itu juga katanya, ia dapat memberi gambaran jelas kepada masyarakat bahawa selain fokus utama dalam pendidikan, Polisas turut memberi tumpuan dalam aspek keselamatan dan kesihatan terhadap warga kerja dan pelajarnya.
Selain itu Lee berkata, peranan Niosh bukan sahaja bergantung kepada aspek pensijilan malah bersedia menjalinkan kerjasama dalam memberi nasihat, panduan dan bantuan yang diperlukan dalam aspek pemantapan keselamatan serta kesihatan pekerjaan.
Dalam pada itu katanya, institusi pendidikan tidak boleh dilihat hanya sebagai tempat pendidikan sahaja tetapi perlu juga sebagai tempat pekerjaan yang melibatkan ramai petugas.
Katanya, di bawah Akta Keselamatan dan Pekerjaan Negara, mana-mana tempat pekerjaan yang mempunyai lebih 40 orang pekerja, organisasi itu wajib menubuhkan sebuah Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.
Sementara itu, Pengarah Pembangunan Kurikulum Dan Latihan Kerjaya Jabatan Pendidikan Politeknik Mohd Ghaus Ab Kadir berkata, kesemua 33 Politeknik di seluruh negara telah menubuhkan peraturan keselamatan dan kesihatan pekerjaan masing-masing.
"Semua politeknik sudah melaksanakan peraturan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, cuma belum dapat sijil pengiktirafan (Niosh) hanya Polisas yang telah mendahului yang lain mendapatkan sijil berkenaan," katanya.
0 comments:
Post a Comment