Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, March 29, 2015

KUALA LIPIS : HAIWAN, GAHARU ANTARA DIRAMPAS

Haiwan, gaharu antara dirampas


Seramai 18 orang ditahan atas pelbagai kesalahan dalam Op Khazanah Negara yang julung kali diadakan secara bersepadu di daerah ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Sharifuddin Abd Ghani berkata, operasi selama sembilan hari itu dijalankan dengan dua kaedah, iaitu operasi dalam hutan melibatkan tiga pasukan dan empat sekatan jalan raya di sekitar kawasan Taman Negara.

Menurutnya, melalui penglibatan kira-kira 180 anggota penguatkuasa dari lima jabatan, seramai sembilan orang dikenal pasti terbabit dalam kes berkaitan Op Khazanah manakala lapan pendatang asing tanpa izin (Pati) dan seorang dipercayai memiliki dadah.

“Sepanjang operasi di Taman Negara itu, kita telah berjaya merampas dua laras senapang angin, selaras senapang patah, sejumlah peluru, sejumlah mercun dan tujuh utas jaring.

“Kita turut merampas 112 ekor katak yang dilindungi, 335 kilogram daging babi hutan, tiga bungkus kayu gaharu dan dua bungkus damar pokok hutan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penutup Op Khazanah 2015 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman (Operasi), Datuk Rusli Ahmad dan Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Abdul Razak Hassan.

Sharifuddin berkata, kesemua suspek ditahan dan didakwa mengikut Seksyen berkaitan iaitu Seksyen 60 (1) dan 37 (1) (a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010; Seksyen 8 (a) dan 8 (b) Akta Senjata 1960; Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957; Seksyen 84 (1) Akta Perhutanan 1984 dan di bawah Akta Imigresen serta Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurutnya, pada masa ini proses pendakwaan sedang dijalankan yang mana terdapat dua suspek telah dituduh di mahkamah dan dikenakan tindakan selepas mengaku bersalah.

Dalam pada itu, Sharifuddin berkata, Op Khazanah Negara yang dilakukan di sekitar kawasan Taman Negara seluas 4,723 kilometer persegi dilaksanakan secara bersepadu melibatkan lima agensi iaitu, polis, Jabatan Perhilitan, Jabatan Perhutanan, Jabatan Veterinar dan Jabatan Imigresen.

“Berdasarkan impak positif daripada Op Khazanah Negara ini, pihak berkuasa akan terus melakukan operasi terbabit secara berterusan dan menyeluruh di kawasan dikenal pasti termasuk di kawasan hutan dan lautan.

“Apa yang kita lihat orang ramai memberi respons positif terhadap usaha ini dalam menangani aktiviti menyalahi perundangan negara dan kita akan lakukan secara berterusan,” katanya.




0 comments:

share2