Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, March 3, 2015

KES TEMBAK: POLIS TAHAN TIGA LELAKI


Georgetown - Tiga lelaki termasuk seorang ahli perniagaan ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang lelaki mati ditembak di Jalan Scotland di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid berkata, tiga lelaki berusia 28 hingga 51 tahun itu ditahan secara berasingan di Georgetown dan Butterworth, awal pagi ini.

"Polis menahan rakan mangsa yang merupakan seorang ahli perniagaan berusia 51 tahun di Georgetown pada pukul 1 pagi ini.

"Ekoran penahanan itu, kami menahan dua lagi lelaki di Butterworth masing-masing bekerja sebagai pembantu kedai dan kerja sendiri bagi membantu siasatan kes itu," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan kejadian itu disebabkan urusan perniagaan, bagaimanapun motif sebenar kejadian masih disiasat.

Mior Faridalatrash berkata, ketiga-tiga lelaki itu kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian pada 9.30 malam tadi, seorang lelaki berusia 51 tahun dan bekerja dengan syarikat pengawal keselamatan mati ditembak dua lelaki yang menunggang motosikal ketika kereta yang dipandunya berhenti di lampu isyarat di Jalan Scotland di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Datuk Mazlan Kesah berkata, lebih lima tembakan yang dilepaskan dari sebelah kanan kereta mangsa mengenainya menyebabkan mangsa mati di tempat kejadian.

Sementara rakannya berusia 54 tahun yang duduk di bahagian penumpang hadapan berjaya menyelamatkan diri.

0 comments:

share2