Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, March 23, 2015

JERANTUT: PROJEK TERNAK IKAN STURGEON PINDAH


Projek ternak ikan sturgeon pindah

Projek penternakan ikan sturgeon di Sungai Tabung, Kuala Tahan tidak akan diteruskan sebaliknya dipindahkan ke lokasi baharu yang akan dikenal pasti juga di kawasan Jerantut.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini mengambil kira laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) yang tidak meluluskan tapak itu untuk projek tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Datuk Abu Bakar Harun berkata, pemilihan Sungai Tabung sebagai tapak cadangan projek itu sebelum ini dibuat berdasarkan kajian kualiti air yang sesuai untuk penternakan ikan sturgeon.

Menurutnya, bagaimanapun berdasarkan keputusan EIA itu, tapak tersebut terpaksa di pindahkan ke kawasan baru namun lokasinya belum diputuskan setakat ini.
“Sebenarnya banyak kawasan yang sesuai namun paling penting adalah kualiti airnya perlu bersesuaian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Makan Malam Anugerah Belia Felda dan Pelancaran kelab Akar Budi Pahang di sini, malam kelmarin.

Abu Bakar berkata, susulan keputusan itu, Felda yang mengendali projek tersebut mengalami sedikit kerugian memandangkan kerja-kerja awal sudah dilakukan di tapak asal.

“Keputusan pembatalan projek itu di tapak asal tidak kena mengena dengan bantahan penduduk sekitar Kuala Tahan yang membantah projek tersebut sebelum ini.

“Semuanya kerana laporan EIA yang mendapati projek ini tidak sesuai diteruskan di situ, jadi kita akur dan akan mencari kawasan baru yang sesuai,” katanya.

Projek penternakan ikan sturgeon di atas tapak seluas 13.8 hektar di Kuala Tahan sebelum ini menimbulkan kontroversi apabila pelbagai pihak termasuk penduduk setempat membuat bantahan kerana mendakwa projek itu menjejaskan eko-pelancongan di Taman Negara.

Ekoran bantahan itu, projek bernilai RM120 juta di bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) itu terpaksa dihentikan sementara bagi memberi laluan kepada penilaian terperinci Impak Alam Sekitar.

Penduduk sebelum ini meminta kerajaan menjalankan kajian dengan lebih teliti dan menyeluruh sama ada projek ternakan ikan sturgeon di Sungai Tabung, Kuala Tahan, di sini perlu diteruskan kerana projek itu dibimbangkan menjejaskan alam sekitar.

Mereka juga mendakwa kawasan dan laluan ke tapak projek tersebut melalui kawasan projek bekalan air kepada penduduk serta membabitkan sungai, selain itu penduduk bimbang jika projek itu dilaksanakan akan memusnahkan alam sekitar terutamanya balak, flora dan fauna yang menjadi tarikan pelancong.

Projek tersebut diusahakan bagi menghasilkan kaviar bermutu tinggi daripada ikan sturgeon untuk di eskport ke luar negara dengan nilai pasaran kira-kira RM12,000 sekilogram.

0 comments:

share2