Langkawi - Orang ramai akan memahami hasrat kerajaan untuk memperkenalkan undang-undang bagi membendung keganasan jika mereka sedar tahap ancaman yang ditimbulkan oleh kumpulan militan IS atau sekutu mereka.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ancaman IS bukan direka dan pengaruhnya tidak tertumpu kepada kepada negara-negara Timur Tengah kerana bukti kewujudannya telahpun muncul di Asia Tenggara.
"Ia (ancaman IS) adalah benar. Ia bukan sesuatu yang direka dan tiada kaitan dengan politik.
"Pejuang pembebasan Moro Nur Misuari dan Abu Sayyaf telah mengisytiharkan kesetiaan mereka kepadap IS dan pembentukan IS di Laut Sulu," katanya kepada pemberita, di sini semalam.
Ancaman yang dicetuskan oleh IS adalah tanda jelas bagi orang awam untuk tidak mengaitkan Akta Pencegahan Keganasan (POTA) dengan politik atau mengaitkannya dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah dimansuhkan.
"Keganasan adalah fenomena global dan semua orang perlu menanganinya. Keganasan perlu dibendung melalui undang-undang yang sewajarnya," kata Hishammuddin.
Pada 26 November, 2014, Parlimen meluluskan Kertas Putih untuk memerangi ancaman IS di Syria dan Iraq, dengan jaminan bahawa undang-undang baharu akan digubal yang akan memberi penekanan kepada pencegahan selain mengekang ancaman itu.
Ketika membentangkan usul bagi kertas putih, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan bercadang untuk menggubal undang-undang baharu untuk membendung ancaman militan dan keganasan di Malaysia.
Rang Undang-undang Pencegahan Keganasan akan dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.
0 comments:
Post a Comment