Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, March 7, 2015

KUANTAN : ANCAMAN DENGGI MEMBIMBANGKANG

Ancaman denggi membimbangkan


Kes denggi yang terus mencatatkan peningkatan dianggap sebagai yang terburuk dalam sejarah negeri dengan peningkatan 200 peratus berbanding tahun lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Dr Zainal Ariffin Omar berkata, perkembangan itu sangat membimbangkan kerana sehingga 1 Mac lalu, 618 kes dilaporkan di negeri ini.

Katanya, jumlah kematian juga meningkat iaitu sebanyak dua kes berbanding tiada kematian dilaporkan pada 2014.

“Tahun ini jumlah kes meningkat sebanyak 417 kes berbanding pada tahun lalu iaitu sekitar 201 kes, manakala dua kes kematian pula dilaporkan di daerah Bera dan Bentong.

“Kita tidak menafikan peningkatan ini berpunca daripada cuaca kering yang melanda ketika ini selain faktor lain seperti penjagaan alam sekitar,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Kuantan mencatatkan kes denggi tertinggi sebanyak 420 kes; diikuti Temerloh (76 kes), Jerantut (42 kes), Maran (30 kes), Bera (18 kes), Raub (9 kes), Lipis (6 kes), Bentong (5 kes), Pekan (4 kes) dan Rompin (1 kes).

Bagaimanapun, beliau berkata, Cameron Highlands masih bebas wabak berkenaan.

Dr Zainal berkata, Taman Pasdec, IM2 dan Kuantan masing-masing dengan lapan kes denggi dipantau sepenuhnya.

Beliau berkata antara punca berlakunya wabak di kawasan ini kerana disebabkan terdapatnya banyak tempat pembiakan aedes di luar rumah.

“Bagi tempoh Januari sehingga 21 Februari lalu, pihak kita telah melakukan semburan kabus ke atas 225,854 premis dan pemeriksaan pembiakan aedes ke atas 58,113 premis.

“Sebanyak 17, 547 premis telah diletakkan abate bagi pemusnahan jentik-jentik dan sehingga kini, 68 aktiviti pembersihan telah dilakukan,” katanya.

Tambahnya, hampir 129 kompaun bernilai RM64,500 telah dikeluarkan kepada penduduk di negeri ini kerana membiarkan jentik-jentik di kediaman mereka.

“Sebanyak 104 notis dikeluarkan bagi mengarahkan kerja pembersihan dan pemusnahan tempat berpotensi pembiakan aedes,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Zainal meminta masyarakat di negeri ini mengambil langkah pencegahan untuk melindungi diri daripada jangkitan denggi.

“Saya saran agar aktiviti gotong-royong di kawasan perumahan masing-masing bagi mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk akibat sampah yang terbuang merata-rata.

“Luangkan masa 10 minit setiap minggu untuk melakukan pemeriksaan sendiri di persekitaran rumah bagi memastikan tiada pembiakan nyamuk aedes,” katanya.

Selain itu, beliau meminta masyarakat menggunakan bahan repelen (bahan penghindaran nyamuk) apabila berada di luar rumah terutamanya seawal jam 5 hingga 7 pagi dan lewat senja dari 5 petang hingga 8 malam.

Menurutnya, masyarakat juga diingatkan memberi kerjasama kepada anggota kesihatan dan pihak berkuasa tempatan dengan membenarkan semburan kabus dilakukan dalam dan di luar rumah.



0 comments:

share2