AirAsia Group hari ini mengesahkan penyebaran emel palsu Program Promosi AirAsia Mac 2015 dari AirAsia Singapura yang menjanjikan habuan wang tunai lumayan.
Sambil mengingatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan penipuan itu, AirAsia dalam satu kenyataan, berkata emel palsu itu mengaitkan penerima terpilih sebagai pemenang bertuah wang tunai RM130,000 daripada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Tony Fernandes.
Sehubungan itu, syarikat itu telah membuat laporan polis mengenainya.
"Kami ingin menjelaskan serta mengesahkan bahawa penyebaran itu adalah satu penipuan yang menggunakan jenama AirAsia tanpa kebenaran bagi mengumpan masyarakat awam untuk menyertai skim palsu berkenaan.
"Kami tidak pernah menggunakan pihak ketiga dalam penganjuran aktiviti kami dan sebarang pengumuman rasmi akan dibuat menerusi saluran rasmi dan sumber oleh dipercayai seperti media massa dan media sosial.
"Sehubungan itu, kami menasihat masyarakat agar tidak mengendahkannya dan AirAsia tidak akan bertanggungawab ke atas sebarang dakwaan berkenaan skim palsu itu," kata syarikat tambang rendah itu dalam satu kenyataan.
Malah, AirAsia menegaskan, ia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang menganjurkan skim haram menggunakan jenama AirAsia.
Katanya, sebagai syarikat yang dikenali di Malaysia dan rantau ini, jenama AirAsia sering disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi menipu masyarakat.
0 comments:
Post a Comment