Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, March 23, 2015

AHLI KELUARGA KIRAM CUBA LARI DARI POLIS


Sabah diceroboh


Kota Kinabalu - Seorang anggota keluarga Kiram dapat ditangkap selepas cuba melarikan diri setelah terdengar teriakan anggota polis, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

Sub Inspektor Talib Sahib, yang ketika itu bertugas dengan Unit Tindakan Khas (UTK), berkata pada kira-kira 1.30 pagi, 23 Mac 2013, lelaki dikenali sebagai Datu Amir Bahar Hushin Kiram, seorang daripada 30 tertuduh dalam insiden pencerobohan Lahad Datu, sedang berjalan bersama dua orang lain dari sebuah rumah yang dipantau pasukan UTK apabila saksi meneriak 'Down, Polis. Polis'.

"Saya memerhati pergerakan mereka bertiga menghala ke arah kedudukan di mana saya bersembunyi. Saya biarkan mereka melepasi saya pada jarak dua hingga lima meter. Kemudian, saya jerit "Down. Polis. Polis," katanya.

Ketika itu, mereka berjalan sebaris dengan seorang lelaki di hadapan, seorang wanita di tengah dan seorang lagi lelaki di belakang.

Sejurus selepas beliau meneriak, saksi itu berkata, beliau mengejar mereka yang cuba melarikan diri.
Selepas mengejar sejauh 20 meter, Talib berkata beliau dapat menangkap lelaki itu yang sebelumnya dilihat berjalan di belakang seorang wanita.

"Saya telah menerkam lelaki itu dan dia jatuh ke bumi bersama dua beg yang dipegangnya di tangan kanan," kata saksi itu.

Talib, yang sekarang berkhidmat sebagai pengawal pengiring kepada Menteri Dalam Negeri, berkata beliau mengarahkan lelaki itu untuk mencangkung sebelum meminta bantuan daripada anggota polis lain yang berada berhampiran, iaitu Asisten Komisioner Mohammad Khairani Khalid, Koperal Rahman Fitri dan Koperal Azri Muji.

"Saya meminta Tuan Khairani dan Koperal Fitri untuk mengawal lelaki yang saya tangkap itu dan saya telah membawa Koperal Azri mengejar dua orang lagi yang melarikan diri ke dalam semak," katanya.

Saksi itu berkata, selepas kira-kira 50 meter di hadapan, beliau berhenti mengejar mereka 'disebabkan keadaan terlalu gelap dan semak terlalu tebal.'

"Saya kembali ke tempat di mana saya telah menangkap lelaki tadi sambil menjerit meminta bantuan daripada pasukan serbuan lain.

"Ketika itu, Asisten Komisioner Hazani Ghazali (ketua operasi UTK) yang pertama sampai dan saya beritahu beliau bahawa saya berjaya menangkap seorang lelaki, manakala dua lagi telah melarikan diri ke dalam semak," katanya.

Talib berkata, Hazani segera memaklumkan kepada pasukan serbuan yang lain untuk mencari mereka di dalam semak itu sementara beliau menyoal siasat lelaki yang ditangkap.

"Asisten Komisioner Hazani bertanyakan kepada lelaki itu siapa namanya dalam Bahasa Inggeris dan lelaki itu memberitahunya 'My name is Datu Amir Bahar' (nama saya ialah Datu Amir Bahar). Ketika itulah saya tahu lelaki yang saya tangkap itu adalah orang yang dikehendaki oleh polis," katanya.

Seramai 27 warga Filipina dan tiga penduduk tempatan dibicarakan atas pelbagai tuduhan termasuk menganggotai kumpulan pengganas atau melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Februari dan 10 April 2013.

Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung esok.

0 comments:

share2