KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang bersedia menjadikan kawasan penemuan fosil tumbuhan yang didakwa dari zaman jugra berusia sekitar 146 juta hingga 200 juta tahun di Kota Gelanggi, Jerantut sebagai destinasi baharu pelancongan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin bagaimanapun berkata, perkara itu akan diputuskan selepas menerima laporan lengkap mengenai penemuan fosil tersebut.
"Jika benar-benar ada (fosil tumbuhan), saya juga akan cadangkan kepada kerajaan negeri supaya memulihara hutan dan kawasan sekitarnya untuk dijadikan tarikan pelancongan.
"Ini kerana kita tidak mahu pelancong datang hanya untuk sehari dua, sebaliknya tinggal lebih lama agar memberi lebih banyak manfaat kepada penduduk," katanya kepada pemberita selepas menutup 'Kuantan Windsurfing and Kitesurfing Challenge 2015' di Pantai Batu Hitam di sini, hari ini.
Mohd Sharkar berkata pihaknya juga akan melihat nilai komersial dalam membangunkan kawasan itu sebagai destinasi pelancongan, menyebabkan pelan tersebut tidak boleh dilakukan secara terburu-buru.
Pada Sabtu, sebuah akhbar tempatan melaporkan penemuan fosil dalam bentuk serpihan daun, batang dan ranting pada permukaan lapisan batu di simpang Kota Gelanggi oleh Pegawai Geosains Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Kelantan Ahmad Rosli Othman.
Sementara itu, Mohd Sharkar berkata Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) bersetuju untuk membangunkan Kampung Paya Siput di Lanchang yang dipercayai titik tengah Semenanjung sebagai kawasan pelancongan.
Projek itu dijadual bermula pada tahun ini, bersekali dengan pembangunan Kuala Gandah yang terkenal dengan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, bagi menarik lebih ramai pelancong.
"Kita mahu lebih ramai datang melancong dan bermalam di Temerloh supaya industri seperti inap desa akan berkembang sebagai punca pendapatan kepada orang di kampung berhampiran atau promosi tempat untuk makan ikan patin," katanya.
Mengulas mengenai pertandingan luncur angin dan pelayaran layang-layang itu, Mohd Sharkar berkata pertandingan itu akan dijadikan acara tahunan dan pihaknya menyasarkan kehadiran lebih ramai peserta termasuk dari luar negara pada tahun depan, sebagai promosi kepada Tahun Melawat Pahang 2017.
- BERNAMA
0 comments:
Post a Comment