Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, February 3, 2015

SURAU AL-IKHLAS PERLUKAN DANA


Razali (dua kiri) dan Khairon meninjau pembinaan dewan mini surau Al-Ikhlas.


Kuantan - Pembinaan surau Al-Ikhlas, Kampung Air Hitam Gudang Rasau dekat sini masih memerlukan dana berikutan beberapa kemudahan di surau itu tidak mencukupi untuk jemaahnya.

Kos keseluruhan untuk membina surau berkenaan ialah sebanyak RM80,000 dan sehingga kini pembinaan beberapa kemudahan di tapak surau dilaksanakan mengikut sumber kewangan yang ada.

Pengerusinya, Razali Yusof berkata, banjir yang melanda awal tahun lalu menyebabkan kawasan surau itu turut ditenggelami air lebih 0.5 meter dan pembinaan dewannya juga tergendala.

Menurutnya, surau pertama di kampung itu mendapat persetujuan ramai kerana mereka boleh berkumpul dan mengadakan banyak aktiviti membabitkan penduduk setempat.

“Kita sedang membina mini dewan di sebelah surau untuk aktiviti penduduk kampung termasuk kenduri dan sukan dalaman selain tempat wuduk dan tandas,” katanya di sini semalam.

Beliau ditemui ketika meninjau surau itu bersama Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Gudang Rasau, Khairon Abd Ghani.

Beliau berkata, pembinaan surau memudahkan penduduk yang sebelum ini bersolat jemaah di Masjid Kolej Islam Sultan Haji Ahmad Shah dan sebuah lagi masjid di Jalan Gambang, kira-kira lapan kilometer dari kampung itu.

Katanya, walaupun surau itu belum siap sepenuhnya tetapi lebih 50 penduduk di situ tetap memanfaatkannya dengan mengadakan program keagamaan.

Razali berkata, paling penting, mereka perlu menyediakan stor untuk memuatkan peralatan surau untuk keselamatan.

“Kami juga berharap surau ini boleh disiapkan sepenuhnya sebelum Ramadan tahun ini bagi membolehkan majlis berbuka puasa dan aktiviti keagamaan diadakan setiap hari di sini,” katanya.

Justeru, katanya, ahli jawatankuasa surau turut memohon sumbangan orang ramai bagi mencukupkan dana untuk pembinaan sepenuhnya rumah ibadah itu.

Katanya, mereka yang mahu menderma boleh menghubunginya di talian 0139277531 kerana pihaknya belum mewujudkan akaun khas untuk surau itu.

0 comments:

share2