Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, February 27, 2015

NIK ABDUH CALON DUN CEMPAKA?

nikabduh



PETALING JAYA: Nama Nik Abduh Nik Aziz yang kini menjadi sebutan dikatakan bakal menjadi taruhan PAS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka yang kosong berikutan kematian ayahandanya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Nama beliau disebut sebagai calon pilihan bagi kerusi DUN tersebut berikutan mesyuarat khas yang diadakan oleh pemimpin bahagian parti pada lewat malam Rabu di Pengkalan Chepa, lapor mStar Online.

Pemimpin berusia 34 tahun yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas merupakan seorang pemimpin yang meningkat naik dan beliau dikatakan memiliki populariti tersendiri penyokong di peringkat akar umbi kerana legasi yang ditinggalkan oleh ayahandanya.

Bukan itu sahaja, Nik Abduh juga menjadi jurucakap bagi pihak keluarganya ketika ayahandanya sedang sakit.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nik Amar Nik Abdullah, yang juga Yang Dipertua PAS Pengkalan Chepa berkata sehingga kini belum ada keputusan muktamad dibuat mengenainya.

“Di Kelantan, bukanlah menjadi satu satu amalan untuk memberikan dua kerusi kepada pemimpin yang sama melainkan ia kes yang istimewa,” katanya.

Bagaimanapun, terdapat pengecualian yang pernah berlaku. Pertama melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Wakaf Mempelam, Mohd Abdul Wahid Endut yang dipilih untuk bertanding di kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada pilihan raya kecil 2009.

Kedua, kes melibatkan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin, yang bertanding di kerusi Parlimen Bukit Gantang pada 2009 walaupun beliau merupakan ADUN bagi kerusi DUN Pasir Panjang.

Chempaka merupakan salah satu kerusi DUN di bawah kawasan Parlimen Pengkalan Chepa.




0 comments:

share2