Usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengadakan taklimat melalui Jawatankuasa Integriti Pengurusan Dana dan Tabung Banjir kepada mangsa banjir adalah usaha yang baik untuk menangani tuntutan palsu oleh pihak yang mengambil kesempatan.
Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail berkata, tindakan itu perlu diteruskan agar dapat mengesan pihak yang menipu atau menyamar menjadi mangsa banjir hanya kerana mahu mendapatkan bantuan banjir.
Menurutnya, isu pihak yang mengambil kesempatan dan membuat tuntutan palsu bukan perkara baharu malah sering berlaku pada musim banjir.
“Situasi ini turut berlaku di Bahagian Paya Besar dan saya harap SPRM turut melakukan perkara sama untuk mengesan pihak yang menipu.
“Di peringkat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan pejabat daerah sendiri tidak mampu untuk melakukan pemeriksaan secara teliti,” katanya.
Abdul Manan berkata, pada musim banjir yang lalu, Bahagian Paya Besar mempunyai kira-kira 2,600 mangsa banjir yang berdaftar membabitkan kawasan Panching, Sungai Lembing dan Lepar.
Beliau berkata, pengurusan tabung banjir harus dikendalikan secara telus agar bantuan yang disediakan sampai kepada mereka yang benar-benar layak.
SPRM sebelum ini berjaya menyelamatkan dana banjir berjumlah RM38 juta selepas semakan secara telus dilakukan di Kuala Krai, Kelantan.
0 comments:
Post a Comment