Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, February 22, 2015

KUANTAN : LATIHAN MEMANTAPKAN OPERASI

Latihan bagi mantapkan operasi



Bagi memantapkan lagi operasi, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang akan terus memberikan latihan dan kemahiran kepada kakitangan pelbagai jawatan.

Pengarahnya Datuk Mohd Paiz Kamaruzaman berkata, latihan jangka pendek diadakan sepanjang tahun perlu dihadiri oleh 1,566 kakitangan seluruh negeri dan mereka perlu sekurang-kurangnya menyertai kursus sebanyak tujuh hari setahun.

Menurutnya, bagi menambahkan lagi kemahiran dalam kalangan kakitangan beruniform hampir setiap bulan kursus, latihan, bengkel dan taklimat diadakan.

“Pusat Latihan Perhutanan Pahang (PLPP) diberi tanggungjawab sepenuhnya menganjurkan pelbagai program latihan di pusat berkenaan di Belimbing Jalan Kuantan-Maran selain beberapa tempat lain.

“Kakitangan dan pegawai juga turut dihantar untuk ikuti kursus anjuran pihak lain seperti Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM),” katanya.

Mohd Paiz berkata, kemahiran dimiliki kakitangan akan dapat memantapkan lagi operasi jabatan itu yang bertanggungjawab menjaga hutan di negeri ini selain mengawal aktiviti pengeluaran kayu balak.

Beliau berkata, kakitangan yang cekap mampu meletakkan jabatan itu pada kedudukan terbaik seterusnya akan dihormati oleh masyarakat dan pihak yang sentiasa berurusan dengan jabatan.

“Justeru, bagi melancarkan setiap tugas yang dipikul lebih banyak kemudahan kenderaan pacuan empat roda akan disediakan kepada semua pejabat hutan daerah.

“Kawasan hutan yang luas selain faktor bentuk muka bumi di negeri ini yang berbukit memerlukan kenderaan berkuasa besar untuk membawa kakitangan ke tempat kerja,” katanya.

Menurutnya, untuk keselamatan, jabatan akan terus menambah jumlah pistol dan senapang yang akan dibekalkan kepada kakitangan berpangkat renjer hutan dan penolong pegawai yang terbabit dengan aktiviti penguatkuasaan.

“Latihan dan kursus menembak juga akan terus diadakan setiap tahun dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mempunyai kepakaran dalam penggunaan senjata api,” katanya.



0 comments:

share2