Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, February 21, 2015

KUANTAN : SELESA BERNIAGA DI PASAR BAHARU

Selesa berniaga di pasar baharu

Peniaga di Pasar Segar Beserah kini mampu menarik nafas lega apabila boleh berniaga di pasar baharu yang siap dibina oleh kerajaan negeri.

Bangunan yang mula dibina sejak 2013 mempunyai 21 ruang niaga dilengkapi pasar kering dan basah bagi membolehkan peniaga hasil laut serta menjual barangan keperluan lain seperti sayur-sayuran.

Pasar tersebut telah memulakan operasi pada bulan Ogos tahun lalu dan rata-rata peniaga menyuarakan rasa selesa berniaga di bangunan baharu berkenaan.

Peniaga barangan basah, Zamri Abdullah, 49, berkata, tapak perniagaan sekarang lebih selesa berbanding sebelum ini kerana tempat penjualannya amat sistematik.

“Bangunan baharu ini keadaannya lebih mesra dan memberi keselesaan kepada pengguna untuk mendapatkan barangan basah dan kering di sini.

“Pasar ini beroperasi di awal pagi membolehkan masyarakat di daerah ini mendapatkan bekalan harian yang segar seperti ikan, ayam dan lain-lain keperluan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, semalam.

Menurutnya, hampir 10 tahun dia berniaga, namun sejak siapnya bangunan ini rezekinya semakin bertambah dari hari ke hari.

“Alhamdulillah ini membuktikan masyarakat di daerah ini selesa membeli belah di pasar segar ini memandangkan banyak tempat letak kereta disediakan.

“Tambahan pula bekalan makanan yang dijual seperti ikan, ayam, sayuran pula semuanya segar belaka,” katanya.

Zamri merakamkan ucapan terima kasih atas keprihatinan kerajaan negeri kerana menaik taraf pasar hingga ke tahap ini.

Seorang lagi peniaga yang hanya dikenali dengan Kak Kiah, 45, memberitahu tapak perniagaan di bangunan baharu ini lebih selesa berbanding sebelum ini.

“Jika dahulu tapaknya lebih terbuka dan sempit, namun di pasar baharu ini lebih luas dan selesa serta boleh meletakkan lebih banyak untuk barang berniaga.

“Sejak berniaga di bangunan baharu ini pendapatan semakin meningkat kerana semakin ramai pelanggan yang mengunjungi pasar tersebut,” katanya.

Kak kiah yang menjalankan perniagaan hampir tujuh tahun berkata, harga sewa tapak kedai juga berpatutan iaitu sekitar RM200 hingga RM150 sebulan.

“Bagi saya harga yang dikenakan tidak terlalu mahal kerana ia merangkumi bil elektrik dan air,” katanya.

Sementara itu, Aminah Sulaiman, 65, berkata, bangunan di pasar segar sekarang lebih baik berbanding sebelum ini.

Menurutnya, dia selesa berniaga di tapak baharu ini kerana persekitarannya yang bersih dan tapak penjualan basah dan kering dipisahkan antara satu sama lain.

“Saya amat selesa dengan tapak perniagaan baharu ini dan rezeki semakin bertambah,” katanya.

Menyentuh sewaan tapak perniagaan, Aminah menyifatkan harga yang dikenakan terhadap sewa kedai tidak membebankan peniaga.


0 comments:

share2