Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, February 21, 2015

JERANTUT ; KERAJAAN KESAL TUDUHAN TIDAK BERASAS

Tuduhan tak berasas, kerajaan kesal

Kerajaan kesal dengan segelintir pihak tertentu yang mendakwa kelewatan menyalurkan bantuan pasca banjir melibatkan kerja membaik pulih kerosakan kemudahan asas, kediaman dan pengisian kebajikan punca mangsa memulihkan kehidupan masing-masing terbantut.

Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris berkata, tuduhan menerusi cakap kosong di kedai kopi dan laman sosial tidak boleh dipercayai kerana ia memperlekehkan kerajaan semata-mata untuk kepentingan peribadi masing-masing.

Menurutnya, usaha membantu kebajikan mangsa banjir bergerak di landasan yang betul khususnya projek membaik pulih kemudahan asas termasuk kediaman penduduk dan sekolah giat dilaksanakan mengikut keutamaan sejak bulan Januari lalu.

“Kerajaan Persekutuan tidak terlepas pandang dan sudah menilai semua kemusnahan serta usaha membaik pulih dipercepatkan berasaskan keperluan dan keutamaan khususnya lokasi penempatan berdekatan dengan Sungai Tembeling dan Sungai Pahang di daerah ini.

“Anggapan pihak tertentu tidak masuk akal kerana kerajaan menerusi wakil rakyat, agensi kerajaan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) bertungkus lumus kerap turun padang ke setiap buah lokasi yang terjejas banjir menyalurkan pelbagai bantuan,”
katanya selepas menyampaikan sumbangan pasca banjir daripada sukarelawan Sapura Acergy, di Kampung Paya Garok, di sini, kelmarin.

Sempena majlis itu, Ahmad Nazlan menyampaikan peralatan elektrik, tilam dan bantal kepada seramai 55 orang mangsa banjir di kampung berkenaan.

Ahmad Nazlan turut memuji dan berterima kasih kerana usaha sukarelawan Sapura Acergy yang sudah banyak kali turun memberi bantuan kepada mangsa banjir di daerah ini.

Menurutnya, misi bantuan daripada seramai 30 sukarelawan Sapura Acergy ke Kampung Paya Garok (Jerantut) dan Kampung Jenderak (Temerloh) menzahirkan hubungan persahabatan selain memenuhi tanggungjawab sosial membantu penduduk yang susah.



0 comments:

share2