Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, February 21, 2015

KELUARGA MERAUNG LIHAT MAYAT


Keluarga meraung lihat mayat


Kuala Kurau - Ahli keluarga mangsa bot terbalik di perairan Kuala Gula, kelmarin terpaksa ditenangkan orang ramai apabila meraung tidak dapat mengawal kesedihan sebaik kedua-dua mayat ditemui, pagi semalam.

Mayat nelayan tempatan, Muhammad Farid Hussain, 34, dan Patahhul Karim, 27, warga Indonesia, ditemui nelayan tempatan pada jarak lingkungan tiga batu nautika dari lokasi kejadian.

Ketua Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) Maritim Pengkalan Kuala Kurau, Leftenan Mohammad Hussaini Ishak, berkata, mayat pertama, Muhammad Farid ditemui tersangkut di sangkar ikan oleh seorang pekerja sangkar sekitar jam 6.50 pagi semalam, kira-kira tiga batu nautika dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Menurutnya, sejurus mayat pertama ditemui, pihaknya bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat serta dibantu nelayan tempatan telah memperluaskan kawasan mencari seorang lagi mangsa yang hilang.

“Sekitar jam 10.15 pagi mangsa kedua pula berjaya ditemui tersangkut pada sangkar ikan berlainan dan jarak mangsa kedua ditemui juga sekitar tiga batu nautika dari lokasi yang dilaporkan hilang.

“Mayat pertama yang ditemui dibawa naik melalui jeti chalet di sini dan identiti mayat itu telah disahkan sendiri oleh kakak mangsa iaitu Norhasikin Hussin, 35, yang membuat proses pengecaman mayat sebelum dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat.

“Mangsa kedua yang ditemui pula iaitu Patahhul Karim juga disahkan identitinya oleh rakan-rakannya dan mayat mangsa juga telah dibawa ke hospital yang sama," katanya.

Dalam pada itu, Penguasa Bomba Zon 2 Perak, Mohamed Habib Mohamed Dali, berkata, operasi menyelamat dimulakan seawal jam 8.00 pagi semalam sebelum diperhebat ke kawasan persisiran hutan bakau selain bantuan Maritim yang menggerakkan operasi mencari ke kawasan yang lebih luas.

“Bantuan Maritim digunakan dalam menentukan laluan air bagi mengelakkan bot yang digunakan tersangkut pada lumpur berikutan air pasang surut," katanya.

Dalam pada itu, mangsa yang terselamat Dahalan Jamaludin 36, bersyukur dan pada masa sama bersimpati dengan nasib keluarga Muhammad Farid yang kehilangan nyawa dalam kejadian tiga bot terbalik dipukul ribut lewat petang kelmarin.

Menurutnya, hanya kata-kata terakhir daripada arwah menyuruhnya memegang erat tali pukat sewaktu hampir lemas dipukul ombak menyelamatkannya daripada turut menjadi mangsa.

Semalam, Sinar Harian melaporkan, keadaan ribut kencang dan ombak kuat menyebabkan tiga bot nelayan di perairan Kuala Gula terbalik sebelum karam menenggelamkan enam nelayan termasuk empat warga Indonesia.

Ketika kejadian, mereka dikatakan sedang menjalankan aktiviti menaikkan pukat di lokasi tidak sampai satu batu nautika dari jarak jeti nelayan.

0 comments:

share2