Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, February 7, 2015

JUMPA JALAN KELUAR SELEPAS ENAM HARI SESAT



Gerik - Selepas enam hari berusaha mencari jalan keluar, seorang lelaki yang dilaporkan sesat ketika mengikuti ekspedisi pendakian Gunung Gerah di kawasan Hutan Rizab Piah, di sini, akhirnya ditemui.

Lelaki dikenali, Budi Satria Syafrin, 37, dikatakan mencari laluan sendiri di hutan berkenaan setelah terpisah dengan 23 ahli lain, sejak 1 Februari lalu.

Dia kemudiannya berjaya menemui lokasi perkampungan Orang Asli Pos Belatin, Gua Musang di sini, kira-kira jam 2 petang, tadi sebelum mendapatkan bantuan penduduk di situ.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Manab Baharum berkata, mangsa ditemui dalam keadaan keletihan, namun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, pasukan mencari dan menyelamat terpaksa menggunakan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk membawa mangsa keluar dari perkampungan itu.

"Mangsa dibawa ke Hospital Gerik untuk rawatan lanjut, tidak banyak maklumat yang kita perolehi lagi kerana mangsa berada dalam keadaan tidak bermaya setelah menempuh perjalanan seorang diri di hutan selama enam hari," katanya.

Ekspedisi Kelab Orang Gunung Kuala Lumpur itu dikatakan memulakan penjalanan pada 31 Januari lalu melalui Jeti Awam Tasik Banding.

Dengan menaiki bot, kumpulan berkenaan yang berpengkalan di Kampung Lerla, Pos Kemar, memulakan pendakian pada keesokan harinya.

Bagaimanapun, mangsa hanya disedari hilang antara jam 2 hingga 3 petang hari kejadian.

0 comments:

share2