Sandakan - Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) akan meneruskan operasi khas bersepadu memburu pendatang asing tanpa izin (Pati) di daerah ini pula, kata Komander Esscom, Datuk Abdul Rashid Harun.
Beliau berkata operasi itu akan dilakukan secara berterusan bagi membersihkan Sandakan daripada Pati.
"Sehubungan itu, semua agensi penguatkuasaan diminta memberi kerjasama sepenuhnya kepada Esscom bagi menjayakan misi itu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat operasi itu di sini, semalam.
Turut hadir Presiden Majlis Perbandaran Sandakan Datuk Ir James Wong, Ketua Pegawai Eksekutif Esscom, Ruji Ubi dan Ketua Penolong Pengarah Tindakan Awam Esscom, Mohd Aziz Marinsah.
Abdul Rashid berkata, operasi itu, yang akan dijalankan tidak lama lagi, adalah lanjutan daripada operasi sama di daerah Lahad Datu, Tawau dan Semporna susulan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja Mengenai Pati di Sabah (RCI).
Ia diadakan atas arahan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) supaya operasi besar-besaran bagi memburu Pati dilaksanakan di negeri ini.
0 comments:
Post a Comment