Singapura - Kerjasama antara Biro Narkotik Pusat (CNB) Singapura dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia berjaya melumpuhkan sindiket dadah yang beroperasi di kedua-dua negara.
Kenyataan yang dikeluarkan CNB di sini, hari ini menyatakan kedua-dua negara menjalankan operasi pada 4 Feb lepas untuk memberkas seorang lelaki disyaki ketua sindiket dadah Singapura, yang dipercayai membekalkan heroin dan 'Ice' kepada pengedar dadah di Singapura.
Penangkapan suspek berusia 46 tahun itu adalah hasil siasatan selama dua tahun oleh CNB dengan kerjasama JSJN PDRM untuk melumpuhkan sindiket pengedaran dadah.
Sindiket itu berpusat di Malaysia dan suspek itu, yang dipercayai ketua sindiket dan dikehendaki pihak berkuasa Singapura, bersembunyi di Malaysia.
Dalam operasi bersepadu oleh JSJN Bukit Aman, JSJN Johor dan CNB, lelaki yang diburu pihak berkuasa Singapura itu dan konco-konconya telah ditangkap di Johor Baharu, Malaysia pada 4 Feb lepas oleh pegawai JSJN.
Pegawai JSJN juga menyerbu sebuah 'stor simpanan dadah' dan kediaman suspek di Malaysia serta merampas kira-kira 580 gram heroin, 370 gram 'Ice, 350 gram ketamin, 150 biji pil Ecstasy, 4,450 biji pil Erimin-5 dan wang tunai sebanyak RM48,280.
Sindiket itu dipercayai menyelaraskan rantaian bekalan dadah dengan membekalkan khususnya heroin dan 'Ice' kepada pengedar dadah di Singapura.
Dadah lain yang dibekalkan sindiket itu termasuk Ecstasy, ketamin, Erimin-5 dan ganja.
CNB mula menjalankan siasatan mengenai kegiatan pengedaran dadah sindiket itu pada Disember 2012.
Antara Disember 2012 dan Februari 2015, CNB melancarkan beberapa siri operasi untuk melumpuhkan kegiatan pengedaran dadah sindiket itu.
Secara keseluruhan, CNB melancarkan 14 operasi yang menghasilkan penangkapan 40 pesalah dadah dan merampas kira-kira 8 kilogram heroin, kira-kira 1.7 kg 'Ice', kira-kira 1.9 kilogram ganja dan dadah lain.
Kejayaan melumpuhkan sindiket dadah itu membuktikan kerjasama erat antara CNB dan JSJN dalam membanteras sindiket pengedaran dadah rentas sempadan.
Sindiket itu dipercayai mampu membekalkan kira-kira 4.5 kilogram heroin, kira-kira 500 gram 'Ice', 1 kilogram ganja dan dadah lain ke Singapura setiap minggu.
Sebanyak 4.5 kilogram heroin dan 500 gram 'Ice' mampu memenuhi ketagihan kira 2,100 penagih heroin dan 280 penagih 'Ice' seminggu.
Pengarah CNB Ng Ser Song berkata: "Kejayaan siasatan terhadap sindiket dadah ini ialah hasil kesungguhan dan komitmen CNB dan JSJN untuk membanteras sindiket dadah."
Ng turut menyampaikan penghargaan kepada Pemangku Pengarah JSJN Datuk Haris Wong di atas kerjasama jabatan berkenaan melumpuhkan sindiket itu yang bertanggungjawab bagi pengedaran sejumlah besar dadah.
"CNB akan terus bekerjasama dengan rakan-rakan serantau bagi menangani gejala dadah dalam usaha menghentikan kemasukan dadah baik di peringkat rangkaian mahupun jalanan," kata beliau.
0 comments:
Post a Comment