Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, February 2, 2015

GERABAK KERETAPI TERGELINCIR DI MEMBAKUT, SABAH


Kota Kinabalu - Satu daripada tiga gerabak keretapi yang dalam perjalanan dari Beaufort ke Kota Kinabalu tergelincir selepas kepala keretapi berkenaan melencong daripada landasan utama di Membakut pagi tadi.

Pengurus Besar Jabatan Keretapi Negeri Sabah, Melvin V. Majanga, berkata, kejadian itu berlaku di Kilometer 69.6, Kampung Bandau di Membakut, kira-kira 45 minit selepas keretapi itu memulakan perjalanannya dari Stesen Daerah Beaufort pada 5 pagi.

Keretapi itu dijadualkan tiba di Stesen Tanjung Aru, Kota Kinabalu pada 7 pagi.

"Hanya satu gerabak sahaja tergelincir selepas kepala keretapi melanggar jengkaut. Ia (gerabak) sudah ditarik. Keretapi telah menyimpang keluar dari landasan utama.

"Kami sedang menyiasat bagaimana perkara ini berlaku sama ada masalah teknikal atau kesilapan manusia," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Melvin berkata, kesemua penumpang selamat dan tiada yang cedera.

Menurutnya kepala keretapi dan gerabak keretapi berkenaan masih tersadai di tempat kejadian.

Jabatan Keretapi Negeri Sabah sedang berusaha membawa kedua-duanya ke bengkel untuk dibaik pulih.

Beliau berkata, berikutan insiden itu, perkhidmatan keretapi tergendala dari Beaufort ke Kota Kinabalu tergendala minggu ini dan dijangka kembali beroperasi minggu hadapan.

Kejadian itu telah dilaporkan di Balai Polis berhampiran Membakut, katanya.

0 comments:

share2