Seremban - Dua pejalan kaki wanita cedera setelah dilanggar sebuah kereta yang terbabas dan merempuh sebuah kedai kek di Jalan Datuk Bandar Tunggal, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata kedua-dua mangsa berumur 38 dan 48 tahun itu dilanggar kereta Perodua Viva yang dipandu seorang wanita berumur dalam lingkungan 30-an dari arah Jalan Tuanku Antah ke Seremban pada pukul 1.30 tengah hari.
"Berdasarkan siasatan awal, pemandu berkenaan dikatakan gagal mengawal kenderaannya lalu terbabas ke kanan jalan menyebabkan keretanya merempuh tembok dan pintu kaca kedai kek berkenaan, selain dua wanita yang sedang melalui jalan itu.
"Disebabkan kejadian itu, salah seorang mangsa mengalami kecederaan patah kaki kanan manakala seorang lagi mengalami luka-luka di bahagian lutut," katanya di dalam kenyataannya di sini.
Katanya kes disiasat dibawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS) untuk rawatan lanjut.
0 comments:
Post a Comment