Kuala Lumpur – Seorang lelaki dipercayai bekas komander sebuah kumpulan pengganas di Syria dan Iraq serta dikehendaki pihak berkuasa di Timur Tengah, berjaya diberkas di sini, 31 Januari lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, lelaki berusia 45 tahun itu berasal dari salah sebuah negara di Timur Tengah yang ditahan dalam operasi oleh Cawangan Khas Bukit Aman.
“Lelaki itu dipercayai menyertai kumpulan pengganas di Syria sejak Mei 2012 hingga Mei tahun lalu. Lelaki terbabit pernah memasuki beberapa negara di utara Afrika serta Asia Tenggara, sebelum memasuki Malaysia pertengahan Januari lalu,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya memandang serius aktiviti pengganas asing yang cuba menjadikan Malaysia sebagai transit, tempat perlindungan dan pangkalan operasi.
“Kejayaan mengesan dan menahan individu tersebut adalah hasil kerjasama erat membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi penguatkuasaan asing.
“Kerjasama ini akan diteruskan bagi tujuan membanteras dan menangani ancaman keganasan sama ada di peringkat serantau ataupun global,” katanya.
Lelaki itu ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana dipercayai menggunakan pasport palsu. Lelaki itu diusir balik ke negara asal, dalam satu operasi khas.
0 comments:
Post a Comment