Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, February 8, 2015

CAMPAK PEDANG TANDA PENEMPATAN


Laluan masuk ke Kampung Orang Asli Jeram Padang dikelilingi ladang sawit.


Kampung Orang Asli Jeram Padang merupakan satu daripada 11 perkampungan Orang Asli dalam Dun Jeram Padang, Jempol.

Berdasarkan maklumat daripada penduduk kampung terbabit, perkampungan itu wujud puluhan tahun lalu, namun dibuka semula untuk penempatan baru sejak lebih 35 tahun lalu.

Mempunyai 27 keluarga dengan purata lebih kurang 120 penduduk yang mana keunikan kampung ini pada namanya, iaitu Jeram Padang.

Mungkin ada yang beranggapan di kawasan kampung itu terdapat sebuah padang menyebabkan ia dinamakan begitu, bagaimanapun perkara itu tidak benar.

Tinjauan Sinar Harian di perkampungan tersebut mendapati laluannya berbukit-bukit, namun ia sudah dilengkapi dengan kemudahan jalan raya.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kampung terbabit, Azhar Dal berkata, menurut penceritaan orang lama, kampung berkenaan dibuka oleh seorang tok batin.

“Kampung ini dahulu mempunyai sebuah jeram di atas bukit dan kebetulan tok batin berkenaan datang dengan hasrat untuk membuka penempatan di sini.

“Tok batin itu kemudian mencampakkan pedang yang dibawanya ke dalam air jeram berkenaan. Lalu timbul nama kampung sebagai Jeram Pedang. Namun begitu, namanya diubah sedikit menjadi Jeram Padang untuk memudahkan kita menyebutnya,” katanya.

Difahamkan, ketika ini sebanyak empat keluarga di penempatan itu beragama Islam.

Hasil hutan punca ekonomi

Menyentuh mengenai aktiviti ekonomi penduduk kampung, Azhar berkata, kebanyakan penduduk di situ masih menjalankan aktiviti memungut hasil hutan.

“Bagaimanapun, ia bukanlah aktiviti utama penduduk kerana rata-ratanya bekerja sendiri. Mereka akan mencari hasil hutan jika musim hujan berikutan tidak dapat menoreh.

“Kita juga seperti kebanyakan masyarakat Orang Asli lain, ada yang bekerja di luar untuk menambah pendapatan,” katanya.

Tinjauan di kampung itu juga mendapati, setakat ini penduduk menggunakan bekalan air bersih menerusi tangki air yang disediakan Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) berikutan bekalan air dari bukit semakin menyusut.

Azhar mengakui agak sukar apabila berdepan situasi itu kerana menyebabkan urusan harian penduduk terganggu.

Selain itu, katanya, penduduk kampung juga masih menunggu bekalan elektrik masuk ke kawasan kampung berkenaan.

"Apa pun, kami tetap bersyukur kerana terdapat beberapa kemudahan lain seperti jalan raya, balai raya, pembinaan rumah baru untuk penduduk hasil bantuan kerajaan yang dilaksanakan di kampung ini.

“Saya juga difahamkan, pihak bertanggungjawab seperti Adun Jeram Padang, Datuk L.Manicakam; Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan kerajaan negeri sedang berusaha melengkapkan kemudahan asas tersebut di Kampung Jeram Padang ini,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Liza Dal berkata, sebelum ini, penduduk terpaksa melalui jalan dekat ladang St.Heiler di sini untuk keluar ke pekan, kira-kira empat kilometer jauhnya.

“Jika kenderaan ringan seperti motosikal, mereka perlu melalui jambatan gantung sebab jalan di ladang agak jauh. Tambahan pula jika musim hujan, jalan lecak selain berdebu pada musim panas.

“Kini kami sedang menunggu kemudahan asas lain seperti bekalan air dan elektrik. Saya difahamkan, permohonan untuk dapatkan kemudahan itu sudah dibuat pemimpin di sini,” katanya yang juga Setiausaha JKKK kampung terbabit.

0 comments:

share2