Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pahang mengeluarkan kompaun kepada 65 peniaga di atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, Akta Timbang dan Sukat 1972 dan Akta Perihal Dagangan.
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Shahiruddin Abd Moin berkata, kesemua kes berkenaan hasil daripada Ops Harga dan Ops Catut 2015 yang dijalankan di seluruh negeri.
Menurutnya, kerajaan melalui KPDNKK tidak akan membiarkan peniaga yang tamak terus menyusahkan pengguna dengan harga barangan yang tinggi.
“Pemantauan setiap hari dijalankan di setiap daerah secara bersepadu untuk memastikan peniaga cekik darah dikenakan tindakan.
“Untuk makluman, setakat kelmarin sebanyak 5,526 pemeriksaan premis telah dilakukan dan 65 kompaun telah dikeluarkan membabitkan nilai RM13, 950,” katanya.
Shahiruddin berkata, pengguna mempunyai hak untuk tidak membeli dengan peniaga yang mengenakan harga yang tinggi.
Bagaimana pun katanya, semua pihak perlu bersatu hati dalam menangani masalah isu harga barang.
“KPDNKK akan menggerakkan semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pengguna untuk memberi kesedaran mengenai hak pengguna selain mendesak pemborong dan peniaga untuk menurunkan harga barang.
“Kita akui kesedaran pengguna terhadap isu kepenggunaan masih rendah namun kita akan meningkatkan usaha melalui kerjasama dengan Majlis Belia Daerah menganjurkan seminar dan sebagainya,” katanya.
0 comments:
Post a Comment