Temerloh - Misteri kehilangan seorang lelaki sejak Isnin lalu akhirnya terjawab apabila mangsa ditemui lemas di padang bola yang dilimpahi air di Kampung Tanjung Batu di sini petang kelmarin.
Mayat mangsa, Joel Kuzaini Karnaini,25, yang berasal dari kampung Baru Cina di sini ditemui tertiarap di kawasan padang bola yang masih dipenuhi air oleh penduduk kampung.
Seorang penduduk kampung yang dikenali sebagai Ahmad Kamal berkata, kali terakhir penduduk melihat lelaki berkenaan ialah pada Isnin lalu di Kampung Tanjung Batu.
“Pada masa itu lelaki berkenaan dilihat menaiki sebuah bot penduduk kampung dan tidak tahu untuk ke mana arah dalam keadaan air banjir yang sedang naik.
“Kemudiannya penduduk kampung menemui bot berkenaan yang hanyut pada Rabu lalu sebelum menemui mayat mangsa pada petang kelmarin,” katanya di sini semalam.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah untuk bedah siasat.
Katanya, berdasarkan bedah siasat kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tiada kaitan dengan unsur jenayah.
“Doktor telah sahkan mangsa mati lemas dan jenazah telah diserahkan kepada waris untuk dikebumikan,” ujarnya.
0 comments:
Post a Comment