Kuantan - Seorang kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang juga sukarelawan membantu mangsa banjir di negeri ini terkilan apabila pacuan empat roda miliknya lesap dilarikan pencuri ketika diletakkan di kawasan berhampiran bangunan TNB Jalan Gambut di sini, malam Khamis lalu.
Pemilik kenderaan jenis Mitsubishi Pajero itu, Wan Bakar Wan Abdul Rahman, 44, dari Taman Greenlast, di sini, berkata kenderaan itu diletakkan di kawasan terbabit sementara dia ke pejabat untuk menyelesaikan beberapa urusan.
Menurutnya, kenderaan miliknya itu dalam keadaan bersiap sedia untuk digerakkan bagi memantau perkembangan semasa banjir di semua pencawang TNB di daerah yang terjejas.
“Pada masa yang sama, kenderaan itu juga turut digunakan bagi menyertai misi sukarelawan mengagih bantuan makanan dan memindahkan mangsa di beberapa kawasan di negeri ini,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini, semalam.
Wan Bakar Berkata, kehilangan kenderaan itu disedari kira-kira jam 1 pagi Jumaat lalu selepas dia kembali ke tempat kenderaan itu diletakkan untuk pulang setelah urusannya di pejabat selesai.
“Saya terkejut apabila mendapati kenderaan yang dibeli dua tahun lalu itu tiada di tempat ia diletakkan sebelum ini.
“Saya cuba mencari di kawasan sekitar namun tidak menjumpainya lalu menghubungi rakan untuk memaklumkan kejadian,” katanya.
Dia berkata, usaha mencari kenderaan itu dilakukan dengan bantuan rakan-rakan namun gagal sebelum mengambil keputusan membuat laporan polis berhubung kehilangan tersebut.
Wan Bakar berkata, hasratnya untuk membantu mangsa banjir terbantut ekoran kehilangan kenderaannya itu.
“Kenderaan itu saya beli dengan harga kira-kira RM30,000 khusus untuk digunakan di jalan lasak selain boleh membantu pasukan keselamatan mengagihkan bantuan makanan kepada mangsa banjir kerana ia tahan lasak dan mampu meredah air sedalam satu meter,” katanya.
“Saya baru bercadang untuk ke Pekan dan Temerloh bagi membantu menghantar bekalan makanan kepada mangsa banjir menggunakan kenderaan itu bagaimanapun hasrat itu nampaknya terpaksa dibatalkan,” katanya.
Menurutnya, ada rakan ternampak kenderaan itu di Jalan Tanah Putih, di sini, beberapa jam selepas dilaporkan hilang bagaimanapun pencarian di kawasan itu tidak membuahkan hasil kemungkinan sudah dilarikan ke luar daerah ini.
“Walaupun terpaksa menanggung kerugian akibat kehilangan kenderaan itu, semangatnya untuk terus membantu mangsa banjir tidak pernah luntur,” katanya.
0 comments:
Post a Comment