Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, January 31, 2015

RAUB: MURID PERLU KUASAI PELBAGAI BAHASA


Tengku Abdul Rahman (dua, kiri) menyampaikan sumbangan kepada pelajar miskin dan mereka yang cemerlang


Raub - Murid sekolah dinasihatkan supaya menguasai pelbagai bahasa terutama bahasa Inggeris bagi mendapatkan peluang pekerjaan yang lebih cerah pada masa depan.

Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah berkata, menguasai lebih satu bahasa penting sebagai faktor penyumbang kemajuan dan jati diri dalam mengharungi era globalisasi, di samping meningkatkan kemampuan dan keterampilan dalam diri seseorang.

“Bahasa Inggeris contohnya digunakan sebagai bahasa antarabangsa di seluruh dunia.

“Pelajar yang memperoleh 5A dalam UPSR harus mempertingkatkan dan memperkemaskan bahasa Inggeris mereka sebagai persediaan untuk menyahut cabaran pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir menyampaikan sumbangan kepada 350 murid miskin dan anugerah kepada 95 murid cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) daerah ini di Sekolah Kebangsaan (SK) Muhammad Jabbar, semalam.

Program itu turut dihadiri Adun Dong, Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin; Adun Batu Talam, Datuk Abdul Aziz Mat Kiram dan Pegawai Daerah, Datuk Khairulanuar Mahmood.

Beliau berkata, namun tidak mustahil bagi murid yang tidak memperoleh keputusan cemerlang 5A dapat menguasai bahasa Inggeris dengan lebih baik akan mempunyai kehidupan lebih cerah berbanding mereka yang cemerlang.

“Pada masa kini, tidak dapat dinafikan jika bahasa Inggeris dapat dikuasai dengan baik, mereka akan lebih mudah mendapat tempat dalam semua sektor pekerjaan,” katanya.

Tengku Abdul Rahman juga berkata, murid tidak seharusnya menguasai bidang pelajaran sahaja, sebaliknya harus juga menguasai bidang lain terutama dalam sukan dan kerja-kerja kebajikan.

“Dalam mengharungi kehidupan seharian murid juga harus memikirkan keseimbangan. Tidak lengkap hanya dengan belajar, juga perlu lengkapkan diri dengan riadah seperti sukan dan kerja kebajikan.

“Ia juga merupakan kriteria penyumbang kepada kecemerlangan murid demi kelangsungan hidup pada masa depan sekiranya mereka dibekalkan dengan pelbagai pendedahan,” katanya.

Beliau turut melahirkan rasa gembira dan terharu selain turut berbangga dengan pencapaian cemerlang yang diperoleh murid daerah ini.

“Kecemerlangan anak-anak merupakan satu bentuk kejayaan buat ibu bapa kerana tanpa didikan dan bimbingan positif, murid tidak akan memperoleh kejayaan.

“Murid juga harus ingat pengorbanan ibu bapa yang bekerja setiap hari dan dengan keputusan yang bagus dapat memberi kegembiraan kepada orang tua mereka,” katanya.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada pendidik yang tidak jemu menabur khidmat bakti demi kejayaan anak bangsa.

Beliau turut berharap agar murid miskin yang kurang bernasib baik agar sentiasa memberi bimbingan, bantuan, pembelaan dan perhatian khusus agar tidak terus tercicir dalam arus kemajuan hari ini.

“Sumbangan yang dihulurkan merupakan cahaya yang dapat menerangi kehidupan anak-anak ini dapat ikuti pelajaran sebaik mungkin ubah taraf kehidupan mereka di masa akan datang,” katanya.

0 comments:

share2