Seorang duda dua anak yang kisahnya disiarkan Sinar Harian Rabu lalu memohon pihak berwajib membantunya memperoleh tapak atau gerai perniagaan.
Salman Hadi, 30, yang kematian isteri, Mis Norhayati Tim Paramin, 22, pada bulan Jun tahun lepas memerlukan tapak atau gerai perniagaan demi kelangsungan hidup mereka sekeluarga terutama untuk kebajikan masa hadapan kedua-dua anaknya.
Salman dan dua anaknya Mohamad Firdaus, 4, dan Mohamad Zulfahmi, 2, dalam jagaannya tinggal di rumah sewa di Kampung Melayu, di bandar ini.
Salman yang berasal dari Kampung Jong Berlabuh, Tembeling Tengah, berharap pihak berkenaan cakna dengan hasratnya untuk berniaga dengan memberi bantuan kemudahan berkenaan.
“Saya cenderung untuk berniaga kerana sebelum isteri meninggal kami pernah berniaga di pasar malam dan semoga hasrat ini diteruskan jika ada peluang yang disediakan oleh pihak berkenaan.
“Sekarang ini, saya ambil upah potong rumput apabila dipanggil oleh orang ramai di sekitar taman perumahan bandar ini, namun tak cukup tampung belanja harian,” katanya selepas diziarah wakil pertubuhan sukarela Grup Jerantut Kampungku, di Kampung Melayu, di sini, semalam.
Kisah kesusahan hidup Salman menjadi viral menerusi laman Facebook dan tersiar dalam media sehingga orang ramai teruja mengenai kesanggupan serta ketabahan duda yang masih muda itu bertindak sebagai ‘ibu’ memelihara dua anak yang masih kecil.
Menurut Salman, selepas kematian isterinya, kemelut kesusahannya tidak dapat dibendung berikutan tidak dapat mengambil upah buruh kerana tidak sanggup meninggalkan anaknya yang masih kecil.
“Saya sering tahan sebak lihat anak menangis dan terpaksa beri susu pekat manis yang dibancuh dan diisi dalam botol.
“Kerana tak dapat bekerja, saya tak mampu sedia susu kanak-kanak yang sebenar dan harap sangat anak saya tak jatuh sakit,” katanya.
Salman mengulangi niatnya bukan untuk meminta ihsan wang ringgit orang ramai, tetapi mahu mengerahkan tulang empat keratnya sendiri kerana dia masih sihat dan mampu bekerja.
“Cuma sekali lagi, saya minta pihak berkenaan dapat memenuhi hasrat saya untuk berniaga di samping ada pihak boleh memberi pekerjaan yang sesuai,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh memberikan sumbangan di akaun Hong Leong Bank, Salman Hadi, bernombor 03250360425 atau menghubunginya di talian 017-9696847.
0 comments:
Post a Comment