Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, January 31, 2015

MARAN : LELAKI MAUT SELEPAS MENYAMUN


Kereta dinaiki dua rakan penyamun itu terbalik dan menyebabkan salah seorang tercampak dan meninggal dunia di tempat kejadian


Chenor - Seorang lelaki maut tercampak apabila kereta dinaiki terbalik ketika cuba melarikan diri selepas menyamun sebuah pusat timbang sawit di Kilometer 110 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur dekat simpang Klinik Pekan Awah, semalam.

Lelaki berusia 25 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala manakala seorang rakan meloloskan diri ke kawasan ladang sawit berdekatan.

Sebelum kejadian tersebut pada kira-kira jam 9.30 pagi, dua lelaki terbabit pergi ke sebuah pusat timbang sawit di Kampung Baru Huma Luas dengan tujuan kononnya mahu menjual buah kelapa sawit.

Pemilik pusat timbang yang didatangi dua rakan itu meminta mereka menunjukkan kelapa sawit yang dimaksudkan untuk pemeriksaan dengan bantuan seorang pekerja warganegara Indonesia.

Secara tiba-tiba, pekerja Indonesia tersebut diacukan parang sebelum dikurung di dalam rumah kongsi sementara pemilik pusat timbang diarah menyerahkan beg di pinggang yang mempunyai dua telefon bimbit dan kunci pejabat.

Dua rakan penyamun itu memasuki pejabat dan mengambil wang tunai berjumlah RM4,700 lalu melarikan diri dengan kereta jenis Nissan Bluebird.

Pemilik pusat timbang ke Balai Polis Pekan Awah untuk membuat laporan namun terserempak dengan kereta dinaiki dua penyamun tersebut di simpang Pekan Sehari Kampung Awah dan mengekori suspek sejauh kira-kira dua kilometer.

Sebaik menyedari diekori, suspek bertindak memecut kereta sebelum terbabas dan terbalik.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Maran, Asisten Superintendan Abd Razak Abd Majid mengesahkan kejadian tersebut dan salah seorang suspek melarikan diri ke kawasan ladang kelapa sawit dekat Felda Kampung Awah.

Menurutnya, identiti suspek masih belum dikenal pasti dan usaha mengesan masih diteruskan. “Antara barang yang ditemui semula adalah wang tunai berbagai dominasi berjumlah RM3,234, tukul besi, pisau, dua telefon bimbit, jam tangan dan beg bertali.

“Semakan mendapati si mati dikehendaki oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh bersangkutan dengan kes dadah berbahaya,” katanya.

0 comments:

share2