Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, January 25, 2015

PLKN : HISHAMUDDIN SELAR PEMBANGKANG




Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyelar tindakan pembangkang yang menuduh penangguhan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) selama setahun akan menyebabkan jurulatih serta kakitangan terlibat makan gaji buta.

Tegas beliau, tuduhan tersebut sangat tidak bertanggungjawab kerana biarpun ditangguh, program latihan untuk mempersiapkan staf kejurulatihan serta seluruh tenaga kerja PLKN tetap berjalan sebagai persediaan ke arah transformasi kerana program nasional itu sudah berlangsung 10 tahun.

“Tuduhan mereka dapat gaji buta tidak betul. Transformasi PLKN selepas 10 tahun memerlukan jurulatih dilatih semula. Tahun ini latihan tetap akan berlangsung, selain perbincangan makmal selama enam minggu,” katanya ketika ditemui pemberita sempena lawatannya ke Pangkalan Udara Labuan di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa menyampaikan Perutusan Khas Perkembangan Semasa dan Kedudukan Kewangan Negara pada Selasa lalu mengumumkan PLKN tahun ini ditangguhkan setahun bagi membolehkan penjimatan sebanyak RM400 juta kepada kerajaan.

Bagaimanapun, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook dalam reaksi segeranya yang dilihat sengaja mahu mencetuskan kebencian rakyat kepada kerajaan mempersoal apakah kakitangan terlibat dan staf kejurulatihan PLKN akan makan gaji buta akibat langkah itu.

Dalam perkembangan berasingan pula, Hishammuddin berkata, buat masa ini, ancaman daripada kumpulan militan Negara Islam (IS) ke atas Malaysia, melalui kaedah merekrut rakyat negara tempatan masih terkawal berikutan langkah tegas yang diambil pihak berkuasa.

Bagaimanapun jelas beliau, keadaan itu boleh berubah dalam sekelip mata jika pihak berwajib dan rakyat keseluruhannya leka kerana ancaman daripada militan serta ekstremis boleh berlaku pada bila-bila masa seperti yang menimpa negara di Asia Barat.

“Kalau sudah berlaku seperti di Iraq kemudian baharu nak bertindak, itu sudah terlambat. Iraq hingga kini belum ada jalan keluar daripada IS walaupun dibantu negara kuasa dunia. Sebab itu kita tidak boleh terleka, sebaliknya ancaman itu perlu ditangani bersama,” katanya.




0 comments:

share2