Tanah Putih – Bencana seperti ribut petir, banjir serta pelbagai lagi yang dialami penduduk diharap dapat dilalui dengan tabah serta mengukuhkan keimanan di dalam diri masing-masing.
Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Haji Ahmad Shah bertitah, semua musibah yang dihadapi merupakan ujian daripada Allah kepada hambanya.
Titah baginda, ketabahan diperlukan bagi memastikan kesukaran yang dihadapi dapat dilalui dengan baik seterusnya berusaha untuk meneruskan kehidupan dengan tabah.
“Saya ingin menasihatkan kepada semua penerima sumbangan dan masyarakat yang ditimpa bencana agar terus sabar dan tabah menghadapi dugaan yang diberi ALLAH SWT kepada kita semua.
“Saya juga berharap agar setiap dari kita akan sentiasa mengingati ALLAH dalam setiap perkara yang dilakukan dan sentiasa berdoa kepada supaya ditetapkan keimanan dan dijauhkan dari segala bala bencana,” titahnya ketika melawat mangsa banjir di
Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Mahmud Mat dan Sekolah Menengah Agama Tengku Ampuan Fatimah, di sini.
Hadir mengiringi baginda ialah Gabungan Sukarelawan Pahang yang diwakili penyelarasnya, Datuk Seri Ab Hamid Nazahar; Penasihat GSP Pekan, Datuk Zamri Ramly serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Persatuan Kelab-Kelab Belia (MAYC) Pekan, dan Belia 4B Pekan.
Sementara itu, Datuk Zamri Ramly yang ditemui berkata, sumbangan yang diberikan Tengku Muda dan pihak-pihak terlibat diharap dapat membina kembali kekuatan kepada mereka untuk meneruskan kehidupan ketika ditimpa musibah bencana ini.
“Ia juga memupuk sifat prihatin sesama manusia dan sentiasa ambil tahu antara satu sama lain dalam melahirkan masyarakat yang harmoni dan penuh nilai positif.
“Kekuatan serta ketabahan melalui ujian daripada ALLAH ini juga akan menjadikan kita semua lebih mensyukuri nikmat yang diberikan kepada kita selama ini,” katanya.
0 comments:
Post a Comment