Kerayong – Sebuah keluarga yang terkepung di sekitar Kampung Mengkarak selama tujuh hari berjaya diselamatkan Sukarelawan Misi Bantuan Dun Kemayan ketika melakukan rondaan menggunakan jentera Multipurpose Rescue Vehicle (MRV).
Keluarga terbabit yang sempat melarikan diri apabila air naik secara mendadak, berteduh hanya dengan berbumbungkan khemah sementara yang dibina bersama beberapa penduduk berdekatan.
Khatijah Mahmod, 35, berkata, dia bersama suami, Ahmad Musa, 37; tiga anaknya dan seorang anak saudaranya hanya sempat menyelamatkan dokumen penting sahaja dan berhasrat untuk ke pusat pemindahan berdekatan, namun tidak sempat.
“Mula-mula kami fikir mahu berpindah ke pusat pemindahan tetapi kami sudah tidak lepas ke sana kerana air naik mendadak.
“Jadi, kami ambil keputusan berpindah ke kawasan lebih tinggi, dan mujur ada orang lain turut sama memasang khemah untuk menyelamatkan barangan keperluan harian dan perabot mereka di kawasan sama,” katanya.
Menurutnya, sepanjang tempoh terkepung itu, mereka tetap menerima bantuan makanan yang disampaikan melalui udara dan air, dan saling berkongsi makanan yang dimasak mereka.
Bagaimanapun, dalam keadaan dua anaknya yang merupakan orang kurang upaya (OKU), dia menerima bantuan untuk dipindahkan ke pusat pemindahan, dan turut menerima rawatan di Klinik Kesihatan Triang.
Sementara itu, Adun Kemayan, Datuk Mohd Fadil Osman berkata, penggunaan pertama kali jentera MRV dalam situasi bencana sebenar banyak membantu pihaknya menyelamatkan penduduk termasuk penghantaran bantuan ke kawasan yang ditenggelami bah.
0 comments:
Post a Comment