Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, January 26, 2015

JENAZAH ALMARHUM TENGKU INTAN ZAHARAH SELAMAT DISEMADIKAN



KUALA TERENGGANU, 25 Jan (Bernama) -- Jenazah Tengku Ampuan Tua Terengganu, Tengku Intan Zaharah Almarhum Tengku Seri Setia Raja Tengku Hitam Omar selamat disemadikan bersebelahan makam suami baginda, Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Makam Diraja Terengganu di Masjid Abidin di sini selepas solat zuhur, Ahad.

Istiadat pengebumian dan bacaan talkin disempurnakan Mufti Terengganu Dr Zulkifly Muda.

Hadir sama kerabat diraja Terengganu, Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Zubir Embong, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Datuk Osman Muda dan anggota Majlis Mesyuarat Negeri.

Sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud pukul 10.15 pagi dengan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Subang, jenazah Almarhum dibawa ke Istana Maziah untuk membolehkan orang kenamaan dan rakyat jelata memberi penghormatan terakhir.

Berangkat sama memberi penghormatan terakhir ialah Yang Teramat Mulia Tengku Besar Terengganu Sharifah Nong Asegaff, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud, Tengku Sri Temenggung Raja Tengku Baharuddin Ibni Almarhum Sultan Mahmud dan kerabat diraja lain.

Almarhum Tengku Intan Zaharah, 86, yang merupakan Raja Permaisuri Agong keempat, mangkat di sebuah pusat perubatan swasta di ibu negara pukul 3.26 petang Sabtu.






0 comments:

share2