Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, January 3, 2015

BIMBANG ANGKARA MESEJ BERANGKAI


Antara mesej yang dihantar kepada orang ramai mengenai keadaan cuaca sehingga bakal menyebabkan ribut di negeri ini.


Tanjung Bungah - Penduduk di sepanjang pantai berada dalam keadaan berjaga-jaga gara-gara khabar angin yang mendakwa ribut kuat akan melanda negeri ini hari ini.

Penduduk, Hajarul Aswati Hassan berkata, amaran terbabit diperolehnya melalui mesej berangkai WhatsApp.

“Dalam mesej yang diterima, angin kuat akan melanda negeri ini menyebabkan kerosakan teruk, disebabkan itulah kami masih berwaspada.

“Tambahan lagi baru saja berlaku ribut di Balik Pulau, jadi bila dengar berita sebegini, kami sebagai penduduk rasa tidak seronok,” katanya.

Bagi Mohd Asrul Mohd Islail berkata, di tempatnya kecoh penduduk memberitahu angin kencang akan melanda kawasan pantai.

Menurutnya, ia sekali gus menyebabkan orang sedikit panik dan bimbang termasuk warga emas.

“Ini semua adalah ketentuan ALLAH, jadi kepada yang sesuka hati hendak hantar mesej yang bukan-bukan silalah beringat sama, yang jadi bimbang adalah orang seperti kami kerana menetap di tempat berdekatan pantai.

“Tips saya mudah, jangan terlalu cepat percaya tetapi yang pentingnya adalah melihat perkembangan terkini melalui medium yang disahkan seperti Jabatan Meteorologi,” katanya.

Sebelum ini, beberapa penduduk di negeri ini dikejutkan apabila menerima mesej amaran bahawa 90 peratus kawasan Malaysia akan menerima kesan akibat ribut tropika Jangmi dan penduduk di Pulau Pinang dinasihatkan bersedia serta mengambil langkah keselamatan.

Bagaimanapun laman web Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan kenyataan ribut tropika Jangmi yang berada di Laut Sulu lenyap sepenuhnya pada 31 Disember 2014.

Kedudukan terakhirnya ialah di Latitud 8.9 Utara dan Longitud 121.7 Timur, kira-kira 527 kilometer ke Timur Laut Sandakan, Sabah.

MetMalaysia akan mengemas kini sebarang maklumat berkenaan ribut tropika di kawasan berdekatan negara setiap tiga jam di laman sesawang www.met.gov.my.

Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui talian hotline 1-300-22-1638 dan laman sosial MetMalaysia.

Sebelum itu, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara, Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab, menafikan dakwaan kononnya ribut tropika Jangmi akan melanda 90 peratus kawasan di Malaysia.

0 comments:

share2