KUALA LUMPUR, 31 Dis - Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan harapan untuk membina sebuah masyarakat yang lebih selamat, makmur dan saksama tahun depan dengan memberi tumpuan terhadap kehidupan dan keperluan rakyat.
Perdana menteri, dalam mesej akhir tahun dalam blog beliau, www.najibrazak.com, hari ini berkata dalam bulan-bulan dan tahun-tahun akan datang, fokus beliau adalah mengenai rakyat.
"Walaupun prestasi ekonomi Malaysia adalah luar biasa, saya sedar bahawa rakyat sentiasa tidak merasakan mereka mendapat bahagian mereka daripada kejayaan negara kita.
"Oleh itu, di samping usaha-usaha kita untuk memperkukuhkan ekonomi kita dengan meningkatkan pendapatan, mengurangkan perbelanjaan, dan meningkatkan produktiviti, kita juga akan berusaha mengurangkan ketidaksamaan dengan mengurangkan jurang di antara yang kaya dan miskin," katanya.
Najib berkata beliau yakin ekonomi Malaysia akan terus berkembang dan membawa lebih banyak peluang pekerjaan dan mutu kehidupan yang lebih baik kerana asas-asas yang kukuh dan dasar-dasar kerajaan yang jelas dan konsisten.
"Ekonomi kita berada di landasan yang betul untuk tumbuh sebanyak 5.7 peratus tahun ini, dan 4.7 peratus pada 2015. Defisit kita menurun, simpanan kita kukuh; kita mempunyai institusi kewangan yang boleh dipercayai, kadar pengangguran yang rendah dan kadar pelaburan asing yang memberangsangkan.
"Ekonomi Malaysia berada dalam keadaan yang baik bagi menghadapi sebarang cabaran," katanya.
Najib berkata Malaysia perlu lebih proaktif bagi membina sebuah ekonomi yang berdaya tahan yang sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
"Dengan perkembangan global yang membawa masalah kepada banyak negara, saya gembira bahawa kita telahpun mengambil pelbagai langkah untuk melindungi ekonomi kita. Baru minggu lepas, Bank Dunia mengesahkan bahawa Malaysia kekal dalam kedudukan yang kukuh sebenarnya kerana tindakan kita merasionalisasi subsidi," katanya.
Beliau berkata Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) yang akan diperkenalkan April tahun depan, akan membantu memperkukuhkan kewangan kerajaan supaya Malaysia dapat meneruskan perbelanjaan yang produktif atas perkara-perkara seperti membina jalan raya, sekolah-sekolah dan hospital-hospital untuk manfaat rakyat.
"Dan di samping CBP, kita akan meneruskan pembaharuan untuk menjadikan ekonomi kita lebih kompetitif, yang akan membawa lebih banyak peluang untuk perniagaan kita, dan pendapatan tinggi untuk rakyat," kata beliau.
Bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia berikutan meningkatnya ancaman kumpulan pengganas, Najib berkata kerajaan telah memperkenalkan Kertas Putih Keganasan yang baharu dan juga memperkukuhkan kerjasama negara dengan agensi-agensi perisikan asing.
"Tanggungjawab saya yang paling besar sebagai perdana menteri adalah untuk memastikan keselamatan rakyat Malaysia. Kedudukan kita cukup jelas, kita menolak apa yang dipanggil Islamic State. Kita menolak negara ini yang ditakrif oleh pelampau. dan kita mengutuk keganasan yang sedang dilakukan di atas nama Islam," katanya.
Mengenai bencana banjir di beberapa buah negeri, Najib berkata keutamaan kerajaan adalah untuk membantu rakyat yang memerlukannya sekarang, dengan bekalan dan bantuan bagi mereka yang terkandas atau dipindahkan, dan sokongan kewangan, supaya rakyat mendapat kembali kehidupan mereka seperti sebelum ini.
Tahun depan, keutamaan kerajaan adalah untuk membina semula infrastruktur, perniagaan dan kediaman yang rosak secara mesra alam, supaya bencana banjir pada masa depan tidak serupa kali ini ataupun lebih buruk.
Najib berkata Malaysia akan memainkan peranan yang lebih besar dalam hal ehwal di rantau ini dan di dunia dalam tahun-tahun akan datang.
"Tahun depan kita akan menjadi pengerusi ASEAN, dengan kita bersedia untuk melancarkan Komuniti ASEAN. Pada 2015, di bawah kepengerusian Malaysia, kita akan meletakkan asas untuk integrasi serantau yang lebih kukuh. Bagi penduduk ASEAN, ini bermakna lebih banyak peluang dan lebih banyak pekerjaan dan cara yang lebih mudah untuk menjalankan perniagaan.
"Pada 2015, kita akan menduduki kerusi tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC). Jauh daripada hanya lencana kebanggaan diplomatik, ini adalah peluang Malaysia untuk menyatakan sokongan kita terhadap objektif utama, termasuk menjamin masa depan yang lebih bermaruah untuk rakyat Palestin dan memberikan sumbangan yang sebenar kepada masalah keselamatan global," kata Najib.
Najib menyifatkan 2014 sebagai tahun paling mencabar dalam karier beliau dan satu daripada tahun-tahun paling sukar dalam sejarah Malaysia dengan kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370, dan kemusnahan Penerbangan MH17.
"2014 ada membawa kemakmuran kepada Malaysia, namun ia juga tahun di mana kita bersatu dalam kesedihan. Saya percaya kita akan dapat keluar dengan lebih kuat dan lebih berazam, daripada tragedi kembar ini.
"Di masjid-masjid, gereja dan kuil, di pasar raya dan online, respons rakyat Malaysia terhadap tragedi-tragedi ini sebagai satu. Kita telah diuji dengan bencana namun semangat rakyat negara ini kekal kukuh," katanya.
Penerbangan MH370 dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing hilang pada 8 Mac manakala Penerbangan MH17 yang sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lepas.
Mengenai tragedi pesawat AirAsia Indonesia Penerbangan QZ8501, Perdana Menteri berkata: "Ingatan kita adalah bersama-sama dengan saudara-saudara kita di Indonesia."
Di tengah-tengah tragedi itu, terdapat kemuncak pada 2014, termasuk ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik negara dengan China dan lawatan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama ke Malaysia.
0 comments:
Post a Comment