Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Seekor kerbau bawa lumpur, habis semua terpalit. Kerana Charly Chappius, wanita Malaysia dituduh langsung tidak tahu malu. Langsung... pedih sungguh kata-kata itu.
Bagi yang kurang jelas akan mauduk omelan saya minggu ini, kisahnya adalah mengenai kenyataan seorang lelaki dari Thailand yang dilontarkan menerusi media sosial mengenai wanita Malaysia yang disifatkannya sebagai langsung tidak tahu malu.
Puncanya kerana mereka telah menunjukkan kegilaan yang melampau, yang keterlaluan amat terhadap pemain bola sepak skuad Gajah Perang, Charly Chappius.
Ini komen lelaki itu:
"Apa yang saya tahu, Malaysia sebuah negara yang paling ramai penduduknya orang Islam dan wanita kamu memakai hijab untuk menutup rambut mereka. Saya juga difahamkan, wanita kamu juga rata-ratanya bersifat pemalu. Tetapi apa yang saya lihat di halaman (Facebook) ini, banyak sekali komen daripada wanita Malaysia yang memakai hijab yang apabila melihat komen-komen mereka, saya tertanya-tanya, di mana perasaan malu mereka? Pada saya, mereka seperti tidak tahu malu langsung. Kamu kelihatan seperti perempuan tidak bermoral yang cuba menarik perhatian lelaki. Saya kira wanita kami (Thailand) lebih bermoral berbanding kamu walaupun negara kami (Thailand) dianggap sebagai negara pelacur."
Pedih lagi menyakitkan hati, bukan?
Tetapi seperti yang saya katakan tadi, apa lagi yang kita nak kata kalau sebab musabab kenyataan senegatif itu dilontarkan susur galurnya adalah daripada sikap atau tindak-tanduk orang kita sendiri. Sebenarnya perkataan tidak bermoral yang saya gunakan itu telah sedikit dilenturkan daripada perkataan sebenar yang digunakan lelaki Thai itu, jauh lebih kesat.
Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa di sebalik kegagalan Harimau Malaya merangkul Piala AFF Suzuki hujung minggu lalu, ada cerita yang lebih menyedihkan daripada itu.
Bukan rahsia lagi betapa ramai anak-anak gadis kita malah isteri orang yang tanpa segan silu menunjukkan betapa gediknya mereka menggilai Chappius. Malang sekali tindak-tanduk mereka itu telah membuat habis kita orang Malaysia, terutamanya wanita lain turut menanggung aib.
Bagi saya, ini lebih menyedihkan daripada sekadar terlepas peluang merangkul sebuah piala. Ini melibatkan maruah agama, bangsa dan negara seluruhnya. Kita bukan sekadar kehilangan piala tetapi sudah hilang maruah!
Kerana begitu terbukanya apa yang mereka lakukan melalui media sosial, persepsi orang Thailand terhadap kita sudah berubah. Selepas ini, wanita kita mungkin tidak akan dihormati lagi sebagai golongan yang begitu menjaga maruah diri, bersifat pemalu dan
mengamalkan sikap budaya yang tinggi.
Masakan tidak jika di Facebook, secara terbuka mereka bukan setakat menunjukkan kegilaan terhadap pemain midfield yang lahir daripada benih kacukan Thai - Swiss itu, malahan sampai ke tahap mengecam, memperlekeh teman wanitanya yang dikatakan tidak sepadan.
Berbagai kata-kata tidak enak yang terang-terangan menghina wanita kulit putih itu dihamburkan. Seorang daripada mereka siap mengaitkan pandangan ibunya bahawa lelaki kacak biasanya berpasangan dengan wanita yang tidak cantik. Kata-kata ini mungkin untuk mengubat hati yang begitu meluap-luap rasa cemburunya!
Sejak berlangsung perlawanan akhir pertama di Bangkok lagi, beberapa minit sahaja selepas sepak mula, bertebaran di di serata media sosial pujian kepada Chappius. Ada yang sampai menganggapnya sebagai anugerah tuhan!
Tidak pernah rasanya sepanjang hayat saya yang sudah 43 tahun ini, sampai begitu sekali wanita kita tergila-gilakan pemain bola keterlaluan seperti itu, apa lagi orang luar yang mengalahkan kita. Begitu bangga seorang gadis Melayu yang hadir ke stadium dengan jersi Harimau Malaya bergambar dalam keadaan dipeluk belakangnya oleh Chappius.
Saya sudah jauh lebih berumur untuk berasa cemburu atau tercabar dengan gelagat yang seperti itu tetapi terasa hatilah juga apabila hal ini dikaitkan dengan moral, maruah, nama baik baik ugama, bangsa dan negara.
Perasaan malu sememangnya amat penting bagi sesiapa juga, lebih-lebih lagi wanita. Kita biasa dengar pesanan orang-orang tua bahawa wanita itu nafsunya sembilan, akalnya satu. Apa yang jadi pelindung untuk dia menjaga kehormatan, maruah dan harga diri adalah perasaan malu. Kalau malu sudah dibuang, inilah jadinya.
Bukan salah hendak memuji, tetapi berpada-padalah. Pemain Harimau Malaya pun bukan tiada yang kacak. Mat Yo umpamanya, pun kacak juga. Tetapi memuji Mat Yo, haruslah dipuji isterinya juga.
0 comments:
Post a Comment