Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, December 2, 2014

TERMINUM AIR SUNGAI TERCEMAR



Abd Ghani (kanan) dan Wan Engah menunjukkan laporan polis yang diserahkan kepada Pejabat JAS Kemaman berkaitan Sungai Kerteh yang dipercayai tercemar.


Kemaman – Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Kerteh dan Kemasik, Abd Ghani Ismail, 60, demam teruk sejak 22 November lalu akibat terminum air Sungai Kerteh yang dipercayai tercemar dan beracun.

Abd Ghani berkata, dia tertelan air ketika menyelam ke dasar sungai selepas membasuh bot nelayannya di sungai itu, kira-kira jam 5 petang.

“Saya menyelam kira-kira 10 minit, namun semasa dalam air, kaki saya kaku, pernafasan terganggu dan tertelan air sungai. Rasa air sungai berbeza daripada biasa. Sepanjang 35 tahun jadi nelayan, inilah kali pertama saya rasa air sungai yang aneh.

“Semasa basuh bot, saya terkejut apabila lihat tiram yang melekat di tiang jeti, terbuka sebab mati. Hidupan yang tinggal dalam selut seperti ketam, belut dan ikan tembakul juga mati. Kami syak sungai ini tercemar dengan bahan kimia berat hingga mendap dalam selut menyebabkan semua hidupan sungai mati,” katanya.

Menurut Abd Ghani, selepas naik ke darat, badannya mula lemah sebelum diserang demam pada waktu malam hingga terpaksa berurut.

Katanya, di dalam sungai itu juga terdapat ribuan pokok kiambang yang dipercayai hanyut dari hulu sungai ke Kuala Kerteh, yang mungkin turut menyebabkan ekosistem sungai terjejas.

Sinar Harian pada 22 November lalu menyiarkan kes ribuan ikan mati hingga Pengerusi JKKK Kampung Gelugor, Wan Engah Mahtar terpaksa membuat laporan polis kerana khuatir sungai disyaki tercemar itu akan memudaratkan penduduk.

Kejadian ikan mati dan terapung di permukaan air sepanjang sungai itu disedari nelayan sejak 17 November lalu, sebelum dimaklumkan kepada JKKK untuk tindakan lanjut.

Berikutan risau sungai yang tercemar itu akan memberi kesan kepada kesihatan nelayan dan penduduk sekitar, Abd Ghani membuat laporan di Balai Polis Kerteh pada jam 12 tengah hari, 24 November lalu.

“Saya buat laporan polis supaya pihak berkaitan terutama Jabatan Alam Sekitar (JAS) ambil tindakan sewajarnya agar punca pencemaran dapat dikenal pasti.

Saya mewakili nelayan juga mohon JAS beri penjelasan segera selepas keputusan ujian sampel air diketahui kerana dikhuatiri, keadaan air yang tercemar akan beri kesan kepada kesihatan nelayan yang kerap melakukan aktiviti di sungai,” katanya.

Abd Ghani ditemani Wan Engah turut menyerahkan laporan polis dibuatnya kepada JAS di Bangunan Persekutuan Kemaman, di sini, kelmarin.

0 comments:

share2