Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, December 2, 2014

AKTA HASUTAN KUKUHKAN AGAMA


Akta Hasutan


Mencintai negara adalah manifestasi cinta yang teragung selain cinta kepada ALLAH dan Rasul, agama, diri sendiri dan ibu bapa. Agama Islam sangat menggalakkan rakyatnya mencintai negara.

Semangat cinta negara mesti dididik sejak seseorang itu di bangku sekolah lagi dan biar berkembang subur dalam jiwa rakyatnya secara berterusan.

Rasa cinta pada negara akan menjadikan setiap rakyat bertanggungjawab untuk memajukan negara dalam pelbagai bidang meliputi sosial, ekonomi, politik, agama dan juga pendidikan.

Dalam menghadapi apa juga musibah, dugaan dan cubaan rakyat mestilah bersatu dengan dipandukan ilmu.

Melaluinya akan wujud semangat persefahaman, keinginan dan keupayaan untuk mencapai perubahan dan yang lebih mustahak ialah membina maruah dan harga diri.

Bagi bangsa yang telah lama tertekan dan berada dalam kongkongan penjajahan, kemerdekaan adalah pembebasan menonjolkan kedaulatan bangsa dalam pelbagai bidang.

Justeru, langkah mengekalkan Akta Hasutan 1948 dengan dua peruntukan khas dimasukkan iaitu melindungi kesucian Islam dan agama lain daripada dihina dan tindakan keras ke atas mereka yang menghasut Sabah, Sarawak keluar dari Malaysia, sewajarnya mendapat sokongan daripada kalangan mereka yang inginkan Malaysia aman damai dan tidak mempolitikkan perkara-perkara yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Membangkang memang senang, mempolitikkan juga memang nampak cantik, tetapi memberikan idea yang baik kepada keamanan dan kestabilan negara agak susah.

Apa yang kita nikmati sekarang adalah berkat kesabaran dan kita harus bersyukur dengan nikmat negara yang merdeka, aman makmur dan sejahtera.

Jika tidak ada semangat tersebut akan hilanglah rasa cinta akan agama dan negara serta luntur semangat patriotisme serta lupa akan sejarah negara.

Melalui semangat patriotisme akan dapat mewujudkan agenda penting iaitu agenda pembinaan bangsa dan negara yang bersatu-padu.

Kemajuan serta pencapaian Malaysia dalam konteks pembinaan negara bangsa telah wujud dengan semangat perpaduan dan kerjasama antara kaum. Apabila perpaduan dan kerjasama tidak wujud lagi maka akan timbul usaha 'pecah perintah' yang diinginkan oleh seseorang pemimpin yang ingin berkuasa.

Sejarah harus difahami dengan berlandaskan fakta yang tepat supaya tidak wujud rakyat dan pemimpin yang 'buta sejarah’ terutama tentang sejarah negara di mana tempat mereka lahir, dibesarkan dan hidup dengan aman dan sejahtera.

Sebagai rakyat juga harus kenal siapa penjajah dan siapa penjarah? Mempolitikkan sejarah boleh membawa pelbagai keburukan dan padah.

Mempertahankan negara daripada musuh dan ancaman luar merupakan satu tanggungjawab setiap rakyat. Kesetiaan kepada raja dan negara yang ditunjukkan oleh setiap warganegara melalui sumbangan dan pengorbanan merupakan unsur cinta akan negara yang amat penting. Mempertahankan keselamatan harta dan keluarga serta jiwa sangat dituntut dalam Islam.

Sejak dahulu ribuan pejuang kemerdekaan telah gugur di medan pertempuran demi mempertahankan negara. Mereka adalah para syuhada yang mempertahankan negara dengan nyawa hingga ke titisan darah terakhir.

Justeru, Nabi SAW berpesan: “Orang yang tewas melindungi keselamatan hartanya, mati syahid dan yang membela (kehormatan) keluarganya, mati syahid dan membela dirinya (kehormatan dan jiwanya), juga mati syahid.” (Riwayat Ahmad).

Membina generasi terutama anak-anak muda ke arah ketakwaan dan cinta akan negara adalah tanggungjawab kepada semua ibu bapa, guru-guru dan juga pemimpin masyarakat.

Unsur cinta akan negara ini perlu disemai dalam kalangan generasi muda, khususnya dalam konteks masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Nilai-nilai cinta akan negara seperti kesetiaan, keberanian, rela berkorban, kesukarelaan, cintakan bangsa dan negara perlu dipertingkatkan bagi membentuk rakyat Malaysia yang patriotik dan bertanggungjawab pada bangsa dan negara.

Agama Islam terus dikembangkan sebagai agama rasmi dan agama lain tidak dilarang dalam kehidupan beragama serta dihormati dan tidak dihina.

Antara cara yang perlu rakyat lakukan sebagai menghargai amalan demokrasi di Malaysia termasuklah tidak menghina agama dan budaya kaum-kaum lain, sama ada melalui perkataan mahupun melalui tindakan.

0 comments:

share2