Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, December 2, 2014

KESAL KENYATAAN DISALAH TAFSIR


Mohd Iskandar Jaafar


Kuala Terengganu - Exco Pemuda Umno, Mohd Iskandar Jaafar kesal kenyataannya ketika berucap membahaskan ucapan dasar Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), disalah tafsir segelintir pemberita sehingga menimbulkan pelbagai tanggapan.

Menurutnya, ucapannya berkenaan sikap orang Melayu Islam dan bukan Islam yang dilihat ada berlaku pertembungan seperti isu di bawah Akta Hasutan kerana ada sesetengah pihak yang ambil kesempatan terhadap sifat toleran yang ada pada diri orang Melayu.

“Dalam ucapan saya, saya tidak mengajak orang Melayu bergaduh dengan orang bukan Melayu, sebaliknya menyeru kepada mereka supaya lebih agresif untuk mempertahankan hak-hak yang mengenai perkara 151, 152 dan 153 yang terdapat dalam Perlembagaan.

“Saya rasa mungkin mereka melihat dari sudut pandangan berlainan, bagi saya penjelasan diberikan itu mungkin boleh difahami,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Program Luncheon Talk dan Majlis Penghargaan Keceriaan Merdeka 2014, di sini, semalam.

Beliau berkata, mungkin selama ini sikap keterbukaan orang Melayu diambil kesempatan dan beliau berharap selepas ini orang Melayu lebih tegas dan bangkit dalam mempertahankan hak.

“Biasanya orang Melayu Islam ni mereka ada sifat sopan santun, mereka ada sifat menghormati, dan ada sifat malu atau segan kepada bangsa lain. Sikap ini telah diambil kesempatan oleh orang bukan Melayu terutama yang ada agenda tersendiri untuk menghasut dan memprovokasi.

“Sebab itulah saya gesa orang Melayu Islam bertindak lebih agresif untuk mempertahankan hak, bukan untuk bergaduh dengan orang bukan Islam. Jadi di situ mungkin berlaku salah tafsiran,” katanya.

Beliau berkata, kenyataannya tidak diputar belit, sebaliknya ditafsir dari sudut berbeza dan pihaknya tidak akan mengambil tindakan atas kesilapan itu.

“Kenyataan saya tidak diputar belit, cuma ia tak beri keutamaan kepada isu dan ucapan yang menyeru orang Melayu meninggalkan sikap bersopan santun, kerana kita bimbang sikap ini akan diambil kesempatan oleh golongan yang anti kepada Islam. Dalam hal ini kita tidak boleh selamanya berlemah lembut,” katanya.

Mengulas mengenai ucapannya pada perbahasan itu, beliau berkata, kos sara hidup rakyat terutama petani dan penoreh getah kawasan luar bandar turut disentuh.

“Harga getah mengalami kejatuhan teruk di mana getah yang dibeli oleh peraih getah kini dalam lingkungan RM1.60 hingga RM1.80 sen sekilogram.

Pada musim hujan sekarang, ada minggu yang mereka langsung tidak boleh menoreh, tambah tertekan kerana purata pendapatan perlu dibahagikan dua bagi mereka yang makan gaji dengan pekebun.

“Kalau harga getah pun RM1.20 sen sekilogram, dalam sehari penoreh dapat tak sampai 10kg. Mungkin dalam seminggu mereka hanya dapat RM50 hingga RM60. Ini realiti pendapatan rakyat luar bandar terutama pada musim hujan atau tengkujuh,” katanya.

Sehubungan itu, berliau berkata, hasil daripada penjimatan subsidi minyak dan kutipan cukai barangan dan pendapatan (GST) boleh dipulangkan balik kepada rakyat, bukan dalam bentuk membina infrastruktur tetapi dalam bentuk yang utama iaitu menghalang kenaikan harga barang.

“Kerajaan perlu lebih prihatin untuk bantu rakyat terutama ketika berhadapan dengan penurunan harga getah. Kos sara hidup meningkat kerana harga barang meningkat, kalau kita boleh halang kenaikan harga barang, ia boleh membantu meringankan beban rakyat,” katanya.

Sebelum ini, sebuah portal berita online menyebut, sikap sopan santun yang menjadi budaya Melayu menyebabkan masyarakat bukan Melayu di negara ini tidak menghormati kaum Melayu, malah komuniti Melayu harus bangkit dan tidak terlalu 'bersopan-santun' dengan kaum lain.

0 comments:

share2