Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, December 27, 2014

TEMERLOH: DUA DAERAH MAKIN BURUK


Stadium Mini Temerloh antara dinaiki air sejak pagi semalam.


Temerloh – Keadaan banjir di daerah Temerloh bertambah buruk apabila seramai 2,823 mangsa daripada 638 keluarga dipindahkan ke 41 pusat pemindahan dengan paras air Sungai Pahang terus meningkat sehingga petang semalam.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa lokasi di daerah ini turut melihat beberapa kemudahan awam, lot-lot kedai dan pasar raya yang mula dinaiki air dengan mendadak.

Di bandar Temerloh, beberapa jalan utama ditutup bagi semua kenderaan termasuk Jalan Tok Muda Awang Ngah dari bandar Temerloh ke Triang apabila paras air sungai terus meningkat.

Stadium Majlis Perbandaran Temerloh juga ditenggelami air sedalam lebih satu meter manakala pasar raya borong terkenal Cowboy turut ditenggelami air.

Semakin banyak perkampungan terutama terletak di tebing Sungai Pahang seperti Kampung Bintang, Berhala Gantang, Sanggang Seberang terputus hubungan sejak tiga hari lalu.

Beberapa sekolah di kawasan bandar seperti Sekolah Kebangsaan Tanjung Lalang, Kolej Vokasional Puteri turut dinaiki air.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin menggesa karnival Lanchang kali ke sembilan yang sedang berlangsung ditunda ke tarikh lain.

Menurutnya, karnival yang menghimpunkan peniaga kecil tempatan itu sepatutnya berlangsung pada 25 hingga 28 bulan ini perlu diubah ke tarikh lain dalam keadaan rakyat ditimpa musibah sekarang.

Pengerusi Kelab Inderapura iaitu penganjur program Razmi Sudin pula berkata, pihaknya akur dengan arahan tersebut dan bersedia mengerahkan ahlinya supaya membantu mangsa banjir dengan menyertai Sukarelawan Temerloh.

“Bagaimanapun peniaga sedia ada yang sudah masuk ke tapak perniagaan di situ dibiarkan berniaga secara percuma,” katanya.

Sementara itu di Pekan, Ketua Polis Daerah, Superintendan Yahaya Othman berkata, seramai 2281 penduduk daripada 586 keluarga sekitar daerah dipindahkan di 28 buah pusat pemindahan disediakan.

Menurutnya, setakat ini jumlah mangsa banjir paling ramai ialah di SK Sinar Mutiara Sungai Miang iaitu seramai 362 orang penduduk.

“Kawasan lain yang turut dilanda banjir ialah di Sri Makmur, SMK Peramu Jaya, Dewan Semai Bakti Chini, Balairaya Kampung Menchupu, Dewan Orang Ramai Batu 8 Lepar, Dewan Serbaguna Kampung Tanjung Pulai, Balairaya Kampung Temai Tengah, SK Kampung Acheh, Permatang Keledang, dan SK Pulau Manis.

“Selain itu kawasan terlibat ialah Kampung Ganchong Hulu, Kuala Mentiga, Taman Selasih, Kampung Bunut, Dewan Pusat Komuniti Padang Rumbia, SK Serambi, SK Temai, SK Pulau Rusa, Kampung Gumum, Kampung Pelak, Kampung Bukit Udang, Kampung Tanjung Medang Hulu, Kampung Tebat, SK Merchong Jaya, SM Sains Sultan Haji Ahmad Shah dan SMA Tengku Ampuan Fatimah,” katanya.

Beliau juga memaklumkan bahawa lapan jalan utama di daerah ini turut dinaiki air dan ditutup kepada semua jenis kenderaan dan antaranya ialah kilometer 2 Jalan Belimbing-Paloh Hinai, kilometer 48 Jalan Ganchong ke Tebat, kilometer 45 Sepaku-Mambang dan Jalan Salong-Terpai.

“Semua pengguna jalan raya juga dimaklumkan mengenai penutupan sebelah laluan di kilometer 48 Jalan Pekan-Salong (berhampiran Kampung Air Hitam) akibat tanah runtuh.

“Antara jalan lain ditutup ialah di kilometer 3 Jalan Kampung Bunut-Kampung Belimbing, kilometer 19 Jalan Kampung Pelak-Belimbing dan simpang Pusat Tenun Pulau Keladi (dibuka hanya kepada kenderaan berat) dan Jalan Kampung Swah dan Kampung Lamir,” katanya.

0 comments:

share2