Rompin – Seramai 79 penduduk Pulau Tioman terkandas di Bandar Mersing, dekat sini dan tidak dapat pulang ke pulau tersebut disebabkan perkhidmatan pengangkutan bot tidak beroperasi.
Adun Tioman, Datuk Mohd Johari Hussain berkata, perkhidmatan pengangkutan bot di jeti tersebut tergendala sejak lima hari lalu akibat cuaca buruk dan ombak besar di perairan Mersing berdasarkan maklumat dari Jabatan Laut dan Jabatan Meteorologi.
Menurutnya, beliau dimaklumkan kesemua yang terkandas telah didaftarkan dan ditempatkan di Balairaya Kampung Air Merah, di sini setakat tengah hari semalam.
“Bantuan kepada mereka amat diperlukan memandangkan keadaan banjir teruk menyukarkan mereka sekiranya terpaksa menanggung beban sewa hotel, makan minum dan sebagainya,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Pahang berkata, keadaan yang sama juga berlaku ketika laut bergelora serta ombak besar pada Disember tahun lalu.
Katanya lagi, bantuan yang diberikan kali ini berkemungkinan sama seperti Disember tahun lalu membabitkan kerjasama antara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Rompin dan Mersing, wakil rakyat kawasan tersebut serta NGO yang prihatin dengan nasib penduduk Pulau
Tioman.
“Rundingan juga sedang dilakukan oleh beberapa pihak berkaitan untuk membawa kesemua penduduk Pulau Tioman yang terkandas itu.
“Diharap akan ada sesuatu yang positif di sebalik rundingan tersebut agar penduduk Pulau Tioman dapat dihantar pulang selain kita juga perlu berdoa supaya keadaan laut kembali normal sekali gus membolehkan mereka dihantar pulang dengan selamat,” katanya.
0 comments:
Post a Comment