Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, December 25, 2014

PEKAN: DUA OKU ANTARA DISELAMATKAN


Dua OKU antara diselamatkan


Pekan – Keadaan cuaca yang semakin buruk dan air laut pasang besar menyebabkan mangsa banjir di sekitar daerah ini kian meningkat di mana seramai 719 orang termasuk dua orang kurang upaya (OKU) telah dipindahkan sehingga jam 4 petang semalam.

Jumlah mangsa banjir yang dicatatkan sehingga jam 8 malam kelmarin ialah seramai 544 orang manakala sebuah lagi pusat pemindahan baru telah dibuka bagi menempatkan 140 mangsa di Balairaya Kampung Temai Tengah.

Ketua Polis daerah, Superintendan Yahaya Othman berkata, peningkatan jumlah mangsa yang dicatatkan menjadikan keseluruhan pusat pemindahan dibuka di daerah Pekan setakat petang ini sebanyak sembilan buah berbanding lapan hari sebelumnya.

Menurutnya, lapan lagi pusat pemindahan dibuka ialah di SK Sinar Mutiara di Sungai Miang, Dewan Sri Makmur, SMK Peramu Jaya, Balairaya Kampung Menchupu, Dewan

Semai Bakti Felda Chini 3 dan Dewan Orang Ramai Batu 8 Lepar.

“Dua lagi pusat pemindahan ialah di Dewan Serbaguna Kampung Tanjung Pulai dan Kampung Pulau Manis di mana kesemua mangsa ditempatkan di pusat pemindahan ini sejak tiga hari lalu dan akan tinggal di sini sementara keadaan paras air masih tinggi ekoran
keadaan cuaca hujan berterusan dan air pasang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.

Yahaya berkata, penduduk di beberapa lokasi terutamanya kawasan risiko banjir juga diingatkan agar lebih berhati-hati dan sentiasa peka dengan peningkatan paras air yang dijangka meningkat dalam masa terdekat ekoran fenomena air pasang dan jumlah taburan hujan
lebat.

“Hingga saat ini, beberapa kawasan turut terputus hubungan di mana empat jalan sekitar daerah telah ditutup kepada semua kenderaan kerana dinaiki air iaitu di kilometer 2 Jalan Belimbing-Paloh Hinai, kilometer 48 Jalan Ganchong ke Tebat, kilometer 45 Sepaku-Mambang
dan Jalan Salong-Terpai.

“Semua pengguna jalan raya juga telah dimaklumkan dari semasa ke semasa mengenai penutupan sebelah laluan di kilometer 48 Jalan Pekan-Salong iaitu berhampiran Kampung Air Hitam akibat runtuh,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang ingin mendapatkan sebarang maklumat atau pertanyaan berkaitan boleh diajukan terus ke bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan di talian 09-4221999.

“Diharap orang ramai terus peka dengan keadaan semasa selain mematuhi peraturan atau amaran yang dikeluarkan pihak berkuasa bagi melancarkan usaha menghadapi situasi bencana,” katanya.

0 comments:

share2