Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, December 6, 2014

RANTAI HADIAH HARI IBU DIRAGUT


Nageswary menunjukkan laporan polis yang dibuat susulan kejadian ragut di Taman Koperasi KSNS, Pedas, pagi kelmarin.


Rembau – Seorang ibu terkilan apabila rantai emas bernilai RM1,500 yang dihadiahkan anak kembarnya berusia enam tahun sempena sambutan Hari Ibu lalu diragut penyamun di hadapan sebuah pasar mini di Taman Koperasi KSNS, Pedas, di sini, pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa, N Nageswary, 34, singgah sebentar di kedai berkenaan bagi membeli beberapa barangan setelah selesai membeli barangan basah di Pasar Awam Pedas.

Menurutnya, sebaik turun dari kereta dan ingin masuk ke kedai berkenaan, dia berselisih dengan seorang lelaki yang bertubuh kurus dan lelaki berkenaan sempat merenungnya sebelum meragut rantai lehernya.

“Saya yang terkejut sempat mengejar motosikal yang dinaiki suspek namun motosikal berkenaan ditunggang laju oleh rakannya.

"Saya lihat ada sebuah lagi motosikal menunggu di belakang dan saya syak mereka adalah rakan subahat,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Chembong Jaya, di sini, kelmarin.

“Sebaik gagal mengejar, saya terus masuk ke kedai runcit dan bertanyakan sama ada kedai berkenaan ada kamera litar tertutup (CCTV) atau tidak dan mengecam suspek yang meragut rantai saya.

"Namun difahamkan suspek baru sahaja datang dan dilihat turun dari motosikal sebaik saya memarkir kereta," katanya.

Nageswary yang juga pekerja teknologi maklumat berkata, dia tidak akan melupakan muka suspek yang kelihatan seperti budak belasan tahun dan agak rendah.

“Namun, saya rasa agak sedih memandangkan rantai berkenaan adalah hadiah sempena Hari Ibu daripada anak kembar saya dan baru sahaja dipakai dalam tempoh enam bulan.

"Rantai berkenaan tidak setebal mana kerana hasil dari duit tabungan anak kembar saya iaitu sekitar harga RM1,500.

“Sebelum ini saya memang tidak suka memakai perhiasan sejak dari kecil, namun apabila anak kembar saya menghadiahkan saya rantai emas itu, saya penuhi permintaan mereka dan sanggup memakainya kerana ada nilai sentimental," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Ibrahim Sharif ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Beliau berkata, polis kini sedang menjalankan siasatan.

0 comments:

share2