Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, April 20, 2014

40,000 SAKSIKAN ISTIADAT DIRAJA


Tengku Ameera Asya (tengah) Tengku Eddie Akasya (kiri) dan Tengku Ahmad Firhan Shah di atas singgahsana pada istiadat berkhatan, bertindik diraja malam kelmarin.


Temerloh - Lebih 40,000 rakyat jelata hadir memeriahkan Istiadat Diraja Bersama Rakyat Sempena Istiadat Berkhatan dan Bertindik Paduka-Paduka Anakanda Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah yang julung kali diadakan bersama rakyat jelata di Dataran Temerloh malam kelmarin.

Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom berkenan berangkat ke istiadat itu.

Turut berangkat, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah serta kaum kerabat diraja Pahang. Pemimpin negeri yang hadir diketuai Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan isteri, Datin Seri Junaini Kassim.

Majlis penuh adat istiadat Diraja itu dimulakan pada jam 9 malam dengan keberangkatan tiba Tengku Ameera Asya Tengku Abdul Rahman, 11, bersama Tengku Eddie Akasya Tengku Abdul Rahman, 10, dan Tengku Ahmad Firhan Shah Tengku Abdul Rahman, 9, menaiki tiga gajah yang dihias indah.

Ketiga-tiga mereka dibawa menaiki gajah kira-kira 20 meter sambil mendapat sambutan penuh segenap lapisan rakyat yang memenuhi laluan di sepanjang perarakan tersebut.

Tengku Ameera Asya, Tengku Eddie Akasya dan Tengku Ahmad Firhan Shah kemudian turun dan diarak ke singgahsana Diraja untuk upacara merenjis.

Sebaik sahaja tiba di singgahsana Diraja, putera dan puteri itu disambut dengan tarian tradisi selamat datang sebelum upacara merenjis dimulakan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan diikuti Tengku Mahkota dan kerabat lain serta pemimpin negeri.

Sejurus selepas majlis merenjis, majlis santapan diraja dimulakan dan hadirin yang hadir turut disajikan dengan hidangan tradisional Pahang sambil diserikan dengan persembahan bunga api.

Selepas itu, ketiga-tiga anakanda Tengku Muda itu berkenan beramah mesra dengan tetamu yang hadir dan rakyat jelata.

Sementara itu, isteri Tengku Abdul Rahman, Cik Puan Muda Pahang, Cik Puan Julita Aishah berkata, penganjuran majlis berkenaan merupakan hasrat Tengku Abdul Rahman untuk membawa adat istiadat diraja yang tidak pernah ditunjukkan kepada rakyat jelata.

Menurutnya, penganjuran program itu di Temerloh yang berjalan dengan lancar menunjukkan penduduk di daerah ini amat dekat dengan hati Tengku Muda Pahang.

“Saya bagi pihak Tengku Muda Pahang mengucapkan terima kasih banyak-banyak kepada semua pihak yang membantu menjayakan majlis pada malam ini dan hanya ALLAH sahaja yang dapat membalasnya”. katanya.

Sementara itu, Tengku Ahmad Firhan berkata, istiadat diraja kali ini yang disaksikan rakyat jelata amat bermakna dan tidak dilupakan dalam hidupnya.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua kerana hadir dan saya sangat gembira hari ini,” katanya.

0 comments:

share2